Kerajaan Sabah kekal pendirian halang kemasukan warga China

Mohd Shafie Apdal
Mohd Shafie Apdal
A
A
A

KOTA KINABALU - Kerajaan Sabah kekal dengan pendirian menghalang kemasukan warga China buat sementara waktu sebagai usaha menghalang penularan wabak koronavirus ketika ini.

Perkara itu diumumkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal hari ini.

Menurutnya, langkah pencegahan itu terpaksa diambil meskipun ia menerima reaksi pelbagai pihak.

"Adalah menjadi keutamaan bagi kerajaan Sabah memberi penyelesaian terbaik demi kesihatan dan keselamatan rakyat.

"Walaupun sekatan kemasukan pelancong ini akan memberi kesan kepada ekonomi negeri, kesan kepada nyawa lebih penting jika penularan wabak ini masuk ke Sabah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Parti Warisan Sabah (Warisan) Bahagian Putatan di Tanjung Aru, Kota Kinabalu.

Semalam, Duta China ke Malasia, Bai Tian kecewa dengan keputusan Sabah yang menggantung kesemua penerbangan masuk dari China.

Tegas Shafie, langkah itu diambil kerana Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengeluarkan arahan menggesa seluruh dunia berjaga-jaga menentang penularan koronavirus yang setakat ini telah mengorbankan 259 orang.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Duta China kecewa Sabah gantung semua penerbangan dari China

Sabah gantung sementara semua penerbangan dari China