CEO Tabung Haji antara penerima darjah sempena Hari Wilayah

Nik Mohd Hasyudeen - Foto Bernama
Nik Mohd Hasyudeen - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lembaga Tabung Haji (TH), Nik Mohd Hasyudeen Yusoff hari ini dianugerahkan darjah Panglima Mahkota Wilayah (PMW) sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2020.

Nik Mohd Hasyudeen adalah antara 25 individu menerima PMW, satu daripada Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan yang dikurniakan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada satu istiadat yang berlangsung di Istana Melawati, Putrajaya.

Darjah itu membawa gelaran ‘Datuk’.

Nik Mohd Hasyudeen dilantik sebagai Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH pada 1 September tahun lepas.

Seramai 188 individu menerima darjah kebesaran, bintang dan pingat sempena Hari Wilayah Persekutuan tahun ini iaitu Seri Mahkota Wilayah (SMW) yang membawa gelaran Datuk Seri (tiga penerima); PMW (25 penerima), Johan Mahkota Wilayah (JMW) (39 penerima), Kesatria Mahkota Wilayah (KMW) (27 penerima), Ahli Mahkota Wilayah (AMW) (36 penerima) dan Pingat Pangkuan Mahkota Wilayah (PPW) (58 penerima). - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Agong kurnia darjah kebesaran kepada 188 individu

Artikel Berkaitan: