Trend pelancong menurun awal tahun bukan sebab koronavirus

Gambar hiasan - Gambar kecil: Mohd Firdaus Ahmad
Gambar hiasan - Gambar kecil: Mohd Firdaus Ahmad
A
A
A

ALOR SETAR - Kedatangan pelancong ke Langkawi sekitar Januari dan Februari setiap tahun menunjukkan trend menurun dan bukannya merosot akibat koronavirus seperti didakwa.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuah, Mohd Firdaus Ahmad berkata, tren itu memang berlaku setiap tahun dan adalah kurang sesuai mengaitkan industri pelancongan di Langkawi terjejas susulan terdapat satu kes koronavirus melibatkan pelancong China berusia 4 tahun di pulau legenda itu.

Mohd Firdaus yang juga Exco Penerangan, Komunikasi dan Multimedia dan Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO) Kedah berkata, kekurangan pelancong pada awal tahun di Langkawi sememangnya berlaku setiap tahun disebabkan Januari dan Februari bukan musim cuti di kebanyakan tempat dan negara.

“Kurang sesuai untuk mana-mana pihak membuat kesimpulan industri pelancongan di Langkawi terjejas ketika trend sememangnya menunjukkan kekurangan pengunjung, situasi sama turut berlaku pada tahun-tahun sebelum ini,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Menurutnya, ketika ini bukan masa sesuai untuk mengukur tahap kemerosotan pelancong ke pulau itu kerana ia adalah situasi yang normal di Langkawi.

“Kemasukan pelancong akan meningkat pada April, Mei dan Jun ketika itu ramai pelancong Arab akan berkunjung ke sana.

Pada Julai dan Ogos pula trend kemasukan pelancong menurun semula dan meningkat pada September dan Oktober manakala November menurun sebelum melonjak semula pada Disember,” katanya.

Sementara itu Mohd Firdaus berkata, beliau mengambil inisiatif mengedarkan topeng muka kepada orang ramai bagi menggalakkan penduduk Langkawi mengambil langkah berjaga-jaga.

Artikel Berkaitan:

“Kita edarkan 400 topeng muka di sekitar Langkawi iaitu 200 di kawasan tumpuan ramai seperti jeti dan pusat beli-belah, 100 lagi di sekolah dan 100 di kawasan kampung.

"Ini fasa pertama dan kita masih menanti stok baharu untuk diedarkan kepada penduduk Langkawi," katanya.