Koronavirus cabar wibawa jurutera

A
A
A

ADA cabaran unik untuk jurutera di China apabila meletusnya wabak koronavirus (2019-nCoV) yang dipercayai bermula di Wuhan.

Kebiasaannya pelancong melawat Wuhan antara sebabnya adalah untuk melihat keindahan East Lake iaitu sebahagian pecahan sungai terkenal Yangtze River. Namun, sejak hampir 10 hari yang lalu, hampir semua hospital di Wuhan menerima pesakit demi pesakit yang disyaki dijangkiti virus maut tersebut.

Peningkatan angka naik mendadak dan jangkaan lebih ramai dijangkiti virus itu dan seterusnya kematian menyebabkan ramai orang menjadi panik.

Penyelesaian segera yang perlu diambil adalah dengan membina sebuah hospital baharu. Kerajaan China bertindak pantas meminta para jurutera di Wuhan membina sebuah hospital yang boleh menampung pesakit sekitar 2,300 orang dalam masa enam hari.

Bagi penulis, misi yang diinginkan oleh kerajaan China itu hampir pasti mustahil untuk dilakukan. Hospital baharu wajar dibina kerana jumlah pesakit disyaki dijangkiti koronavirus sudah mencecah hampir 7,711 kes dan 170 disahkan mati.

Begitupun penulis amat arif dengan pemerintah China yang sememangnya memiliki kepakaran merekabentuk teknologi siap siaga dan teknologi pengendali risiko untuk mengatasi sebarang bencana atau musibah.

Di sinilah penulis melihat bagaimana kebijaksanaan dan kepentingan jurutera serta teknologi dalam kehidupan seharian masyarakat.

Jurutera Wuhan menerima cabaran itu dan pada malam 27 Januari lalu, empat syarikat kejuruteraan binaan milik kerajaan daripada tiga wilayah memulakan kerja pembersihan tapak hospital baharu di Jiangxia, Wuhan dan dijangka siap pada 3 Februari 2020.

Artikel Berkaitan:

Bangunan Hospital Huoshenshen seluas 269,000 kaki persegi memuatkan 1,300 katil itu sedang dibina menggunakan teknologi prefabricated. Ia akan memecahkan rekod yang dipegang hospital di Beijing yang siap dalam masa tujuh hari pada tahun 2003 bagi merawat pesakit Severe Acute Respiratory Syndrome (SARS) sebagaimana laporan The Guardian pada 25 Januari lalu. Lebih 4,000 pekerja mengendalikan jentera pembinaan termasuk 35 penggali dan 10 jentolak tiba di tapak hospital baharu tersebut pada malam Khamis lalu (23 Januari) bagi memulakan kerja binaan.

Ketika artikel ini ditulis, sebanyak 7,711 kes koronavirus disahkan dan 170 mati. Hospital di Wuhan pula perlukan apa yang dikatakan sebagai keajaiban dalam sejarah perubatan dunia.

Laporan tersebut menyebut koronavirus bermula di Wuhan menyerang penduduknya seramai lebih 11 juta orang sekali gus menyebabkan hospital dibanjiri pesakit dan semua farmasi di bandar itu kehabisan ubat.

Pensyarah perubatan dan perubatan sosial global di Harvard Medical School, Amerika Syarikat, Dr Joan Kaufman menegaskan, kerajaan China mengambil langkah positif dengan membina hospital baharu bagi memastikan hanya pesakit dijangkiti koronavirus dihantar ke sana.

Pegawai Kesihatan Kanan Global, Dr Yanzhong Huang pula menyebut China mempunyai rekod cemerlang untuk mengatasi wabak dengan cepat.

Koronavirus telahpun disebut ALLAH SWT dalam al-Quran. ALLAH telah memberi amaran dalam surah al-Qashash [28:26]. ALLAH memberi jalan penyelesaian dengan kurnia yang diberikan kepada Nabi Yusuf AS.

Baginda diangkat menjadi pembesar negara dengan tujuan untuk menyelamatkan Mesir daripada malapetaka kemarau panjang. Ia diceritakan dalam surah Yusuf ayat 55 bermaksud: “Yusuf berkata: Jadikanlah daku pengurus perbendaharaan hasil bumi (Mesir), sesungguhnya aku sedia menjaganya dengan sebaik-baiknya, lagi (aku) mengetahui cara mentadbirkannya dengan penuh amanah.” Sebenarnya, ada rahsia tersembunyi mesti dipelajari daripada wabak koronavirus. Musibah di Wuhan harus meyakinkan rakyat Malaysia bahawa ilmu kejuruteraan dan teknologi ialah bidang penting bagi mengatasi masalah.

Kita perlu menyahut cabaran kejuruteraan itu supaya sentiasa bersiap siaga menghadapi kemungkinan.

* Profesor Madya Ir Dr Muhidin Arifin ialah Pengarah Institut Kejuruteraan Sukan Pusat Kecemerlangan Universiti Selangor (Unisel)