Pelancong China mampu tingkatkan nilai ringgit - Ahmad

Ahmad (dua dari kanan) beramah mesra dengan pelancong dari Dumai, Indonesia di Jeti Penumpang di Port Dickson pada Selasa.
Ahmad (dua dari kanan) beramah mesra dengan pelancong dari Dumai, Indonesia di Jeti Penumpang di Port Dickson pada Selasa.
A
A
A

PORT DICKSON - Peningkatan kemasukan pelancong luar ke negara ini diyakini dapat mengukuhkan nilai mata wang ringgit yang kini agak rendah berbanding dolar AS.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, ketika ini lebih 200 juta pelancong dari negara China sedang merangka perjalanan mereka ke pelbagai negara.

"Kita harap mereka memilih Malaysia sebagai salah satu destinasi popular selain Thailand, Singapura dan Indonesia. Kita inginkan pelancong yang ramai kerana ia memberi pendapatan kepada negara termasuklah rakyat yang terlibat dalam sektor pelancongan, hotel, makanan dan minuman serta segala yang berkaitan dengannya.

"Pada masa sama permintaan terhadap ringgit akan menjadi lebih tinggi apabila pelancong ramai datang dan ia memperbaiki prestasi ringgit dibanding dengan dolar AS," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja di Jeti Penumpang Port Dickson, di sini pada Selasa.

Dalam pada itu, beliau turut menyarankan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menyegerakan proses membantu menyaring barangan penumpang yang tiba di jeti atau lapangan terbang bagi merancakkan lagi sektor ekonomi pelancongan di negara ini.

"Dari segi kecekapan agensi kita, mereka perlu segera menyelesaikan barisan yang panjang di muka hadapan (pintu masuk), saya kira boleh diperbaiki kerana hal lambat di lapangan terbang dan di jeti ini perkara yang berulang.

"Saya kira pada saat kita memerlukan pelancong yang ramai datang ke negara ini, salah satu agensi penting yang melakukan perkara itu adalah Kastam bagi menguruskan ketibaan pelancong dari luar.

"Namun begitu, saya lihat ada penambahbaikan dilakukan antaranya, Kastam menggunakan pendekatan mengumpul barangan dahulu untuk disaring di mesin pengimbas sementara penumpang lain berbaris menunggu giliran di kaunter, ia satu kaedah boleh percepatkan proses barisan," katanya.

Beliau berkata, walaupun pelancong perlu mengikut prosedur tetapi diharapkan tiada halangan teknikal yang menyebabkan mereka terpaksa berbaris panjang sehinggakan mereka mencari negara lain yang lebih cekap.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Ahmad berkata, bahagian Penguatkuasaan Kastam Negeri Sembilan merekodkan kutipan rampasan serta tangkapan lebih RM800,000 bagi tempoh enam bulan ini.

Katanya, kutipan cukai yang sepatutnya dikutip adalah RM1.04 juta yang melibatkan barangan seperti rokok, minuman keras dan kenderaan.