Bahasa dan hidup bawah tempurung
TAHUN 2019 merupakan tahun penuh kontroversi di tanah air kita. Perang budaya antara kaum Melayu dengan kaum lain, umat Islam dengan penganut agama lain menjadi semakin keruh.
Ancaman besar yang terbaru adalah cadangan menjadikan khat jawi sebagai satu elemen dalam subjek Bahasa Melayu di sekolah. Malangnya, ia menimbulkan banyak kontroversi. Ada banyak hujah yang digunakan untuk menentang dan menyokong cadangan itu. Ada juga pihak tidak bertanggungjawab menjadikan cadangan itu sebagai modal meraih sokongan politik daripada rakyat.
Tulisan jawi adalah antara sebahagian yang penting bagi sejarah Malaysia. Pemasyhuran Kemerdekaan 1957 ditulis dalam bahasa Melayu tulisan jawi dan bahasa Inggeris tanpa ada versi bahasa Melayu rumi. Ironinya, ramai orang hari ini kurang arif dengan tulisan jawi. Walaupun faham, saya pun tidak fasih membaca dan menulis jawi. Itu sangat mengecewakan.
Dalam sejarah Melayu, Hikayat Hang Tuah atau Hikayat Merong Mahawangsa dan semua manuskrip dalam tulisan jawi. Namun, ada karya-karya lain yang dilupakan Orientalis Barat kerana tidak memenuhi stereotaip bahawa semua karya sastera Melayu berbentuk mitos dan legenda.
Contoh manuskrip Taj-us Salatin atau Mahkota Raja-Raja yang ditulis pada tahun 1603 di Aceh Bukhara al Jauhari. Ia terbit hampir 50 tahun sebelum ahli falsafah Inggeris, Thomas Hobbes menerbitkan buku Leviathan.
Karya itu antara karya terawal yang menyentuh undang-undang perlembagaan dan kontrak sosial seperti Leviathan mengulas perjanjian antara Tuhan dengan manusia serta hubungan antara pemerintah dengan rakyatnya.
Ada sebilangan rakyat Malaysia yang menganggap bahasa kebangsaan tidak penting. Pandangan itu dangkal. Bahasa Melayu bukan sahaja bahasa kebangsaan tetapi lingua franca.
Bila saya bertemu ahli politik dan pegawai kerajaan Singapura, ada yang meluahkan kekesalan terhadap tindakan yang mengabaikan bahasa Melayu.
Dalam memoirnya, Lee Kuan Yew menulis: “Di rumah saya menggunakan bahasa Inggeris dengan ibu bapa saya, bahasa Melayu Baba sejenis dialek Melayu dicampur perkataan Cina dengan datuk dan nenek saya dan bahasa Melayu dengan campuran sedikit Hokkien dengan kawan-kawan.”
Bahasa ibunda
Pesanan ini bukan sahaja untuk bahasa Melayu tetapi juga untuk bahasa Mandarin, bahasa Tamil dan bahasa-bahasa ibunda lain.
Majoriti rakyat Malaysia masih ada asas untuk bertutur dalam bahasa Melayu sama ada bahasa pasar ataupun dialek tempatan. Realitinya amat penting untuk semua rakyat tanpa mengira kaum untuk memahami dan boleh bertutur dalam bahasa Melayu.
Ironisnya, antara yang paling lantang kononnya bermati-matian mempertahankan tulisan jawi dan isu-isu Melayu tetapi anak-anak mereka tidak boleh bertutur dalam bahasa Melayu.
Apa yang diperlukan adalah kepercayaan dan hubungan baik di kedua-dua belah pihak. Kita juga memerlukan pemimpin yang mempunyai keazaman politik dan kewibawaan untuk membincangkan perkara ini.
Dalam Islam, anjuran lita’arafu atau saling mengenali antara satu sama lain amatlah penting terutama dalam masyarakat majmuk.
Di kawasan saya, Setiawangsa, ada sebuah surau yang mengadakan sambutan Tahun Baru Cina. Pada tahun ini, saya berharap dapat mengadakan majlis berbuka puasa pelbagai kepercayaan dengan pemimpin pelbagai agama.
Kerajaan, sekolah dan badan bukan kerajaan perlu berganding bahu memupuk persefahaman antara kaum.
Jika kita terus hidup di bawah tempurung, kita selamanya akan hidup dalam ketakutan antara satu sama lain.
* Nik Nazmi Nik Ahmad ialah Ahli Parlimen Setiawangsa dan Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai Pertahanan dan Hal Ehwal Dalam Negeri