Denda 2,000 jika buang sampah di tapak pasar malam

Elya (empat dari kanan) merakamkan gambar bersama selepas membuat gimik pelancaran dalam majlis berkenaan.
Elya (empat dari kanan) merakamkan gambar bersama selepas membuat gimik pelancaran dalam majlis berkenaan.
A
A
A

KLANG - Majlis Perbandaran Klang (MPK) akan mengenakan denda sebanyak RM2,000 kepada mana-mana peniaga dan pengunjung yang dikesan membuang sampah di 10 tapak pasar malam dan pagi terpilih.

Timbalan Yang Dipertua (YDP) MPK, Elya Marini Darmin berkata, pihaknya bertindak proaktif dengan mewujudkan satu pertandingan khas bagi membantu meningkatkan lagi taraf kebersihan kawasan pasar malam dan pagi di bawah seliaan MPK.

Beliau berkata, pertandingan tersebut terbuka kepada semua penduduk Klang di mana mereka perlu mengambil gambar premis kotor di pasar malam atau pagi sebagai bukti.

"Pemohon perlu memuat naik gambar bersama lokasi pasar terlibat di laman media sosial peribadi masing-masing.

"Kami juga akan denda dan menyampaikan sijil terkotor kepada peniaga premis kotor. Malah foto premis mereka juga akan dipaparkan dalam media sosial MPK," katanya selepas Majlis Penyerahan Papan Tanda Kebersihan MPK hari ini.

Difahamkan, antara tapak pasar malam dan pagi yang terlibat dengan inisiatif ini adalah Pasar Malam Jalan Sri Sarawak, Pasar Malam Simpang Empat Sungai Udang dan Pasar Malam Pandamaran Jaya.

Mengulas lanjut, Elya berkata, pelaksanaan inisiatif tersebut akan dilaksanakan dalam tempoh percubaan di 10 lokasi terlibat sebelum diperluaskan di tapak pasar malam dan pagi lain.

Beliau berkata, pemohon yang menyertai pertandingan itu juga akan diberikan hadiah saguhati bernilai RM100 setiap seorang.

Artikel Berkaitan:

"Tarikh tutup adalah pada setiap hujung bukan dan penerima hadiah akan diumum pada minggu kedua setiap bulan," katanya.