RWG ambil tindakan proaktif sekat penularan koronavirus

Gambar hiasan.Foto: 123rf
Gambar hiasan.Foto: 123rf
A
A
A

SHAH ALAM - Susulan penularan wabak koronavirus (2019 n-CoV) yang semakin meningkat, Resorts World Genting (RWG) turut mengambil langkah-langkah pencegahan dengan meningkatkan tahap keselamatan di premis bagi mengurangkan risiko penyebaran wabak itu.

RWG dalam satu kenyataan hari ini memberitahu, walaupun setakat ini tiada tetamu didiagnosis dengan jangkitan tersebut, langkah-langkah pencegahan tetap dilaksanakan dengan mengambil kira amalan kesihatan dan keselamatan antarabangsa bagi melindungi semua tetamu dan kakitangannya.

"Kami menubuhkan pasukan keselamatan khas yang dianggotai pengurusan kanan resort khusus untuk membuat pemantauan keadaan semasa sebanyak dua kali sehari bagi melaksanakan langkah berjaga-jaga apabila perlu.

"Selain itu, turut diperkenalkan pengimbasan terma inframerah di seluruh hotel sehingga ke kawasan jalan raya, pusat pemeriksaan serta di semua pintu masuk utama pelbagai kemudahan termasuk pintu masuk kakitangan.

"Sesiapa yang didapati mempunyai suhu tinggi melebihi 38 darjah Celsius akan diminta untuk pergi ke bilik pengasingan yang disediakan, di mana mereka akan diberi perundingan percuma oleh doktor perubatan kami," katanya memberitahu sehingga kini operasi RWG masih diteruskan seperti biasa.

Menurut RWG lagi, gel sanitasi juga diletakkan pihaknya di sekitar resort serta tempat awam, selain program pembersihan di sekitar resort turut dipertingkatkan.

"Malah di semua tarikan utama kita termasuk di Skytropolis Indoor Theme Park turut memberi penekanan terhadap amalan sanitasi yang ketat sejajar dengan amalan kesihatan dan keselamatan antarabangsa taman tema bertaraf dunia," katanya.

Selain itu, RWG juga mempunyai dua klinik perubatan yang beroperasi 24 jam sehari dan dikendalikan oleh doktor dan jururawat terlatih.

Artikel Berkaitan:

Katanya, mana-mana tetamu yang berasa tidak sihat atau menunjukkan sebarang gejala seperti selesema digalakkan untuk mendapatkan rawatan perubatan segera di klinik-klinik terbabit.

"Bilik-bilik pengasingan juga disediakan sebagai sebahagian daripada kemudahan untuk memastikan mana-mana tetamu yang sakit diasingkan daripada orang awam. Turut disediakan enam ambulans sebagai langkah berjaga-jaga," katanya.

Katanya sebarang hebahan atau nasihat telah dan akan disiarkan kepada orang ramai menerusi skrin LED dan papan notis yang dipasang di seluruh resort berkenaan.

Dalam pada itu, RWG memberitahu.pihaknya juga membuat pemeriksaan teliti terhadap kakitangannya yang baru pulang dari luar negara dan akan diperiksa oleh doktor perubatan bertauliah sebelum mereka dibenarkan untuk kembali bekerja.

"Bagi pekerja yang boleh bekerja dari rumah, kami turut menggalakkan mereka berbuat demikian," katanya.