Presiden China yakin menang lawan koronavirus 'syaitan'

Seorang pesakit dirawat di sebuah hospital di Wuhan, China.
Seorang pesakit dirawat di sebuah hospital di Wuhan, China.
A
A
A

BEIJING - Presiden China, Xi Jinping hari ini memberitahu Ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bahawa beliau yakin akan memenangi pertempuran melawan koronavirus 'syaitan' yang telah meragut 106 nyawa dan kini merebak di seluruh dunia.

Kenyataan itu dikeluarkan ketika beliau bertemu dengan Tedros Adhanom Ghebreyesus bagi membincangkan langkah untuk melindungi rakyat China dan warga asing di kawasan terjejas akibat koronavirus tersebut serta alternatif yang mungkin boleh diambil.

"Kita tidak boleh biarkan koronavirus itu terus bersembunyi dan bermaharajalela. China akan memperkuat kerjasama antarabangsa dan mengalu-alukan penyertaan WHO dalam pencegahan virus ini.

"Kami percaya WHO dan komuniti antarabangsa akan bertenang dan memberikan penilaian serta objektif yang rasional terhadap ancaman virus tersebut," kata Jinping.

Ghebreyesus dalam satu kenyataan juga menyatakan tiada keperluan bagi melaksanakan langkah untuk membawa keluar warga asing dari wilayah Hubei yang menjadi pusat penyebaran wabak tersebut selepas kebanyakan negara Barat kini memutuskan pilihan tersebut.

Kebanyakan bandar di China kini mewajibkan penduduk memakai topeng muka sebagai langkah untuk membendung penularan koronavirus tersebut. - Foto AFP
Kebanyakan bandar di China kini mewajibkan penduduk memakai topeng muka sebagai langkah untuk membendung penularan koronavirus tersebut. - Foto AFP

Minggu lalu, panel terdiri daripada 16 pakar bebas menolak sebanyak dua kali untuk mengisytiharkan Kecemasan Kesihatan Awam dengan Kebimbangan Antarabangsa (PHEIC) susulan penularan wabak membawa maut itu.

Terdahulu, China menggesa rakyat mereka menangguhkan perjalanan ke luar negara di tengah-tengah usaha sedang meningkat untuk membendung penularan virus membawa maut tersebut.

Artikel Berkaitan:

Pentadbiran Imigresen Kebangsaan memaklumkan langkah itu bertujuan untuk melindungi kesihatan dan keselamatan rakyat China dan orang luar selepas lebih banyak kes jangkitan kini dilaporkan di negara asing.

Terdahulu, Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan (NHC) mengumumkan 26 kematian baharu melibatkan kebanyakan warga emas yang turut dilaporkan di Beijing dan Shanghai.

Wabak tersebut yang dipercayai disebarkan haiwan liar di Pasar Borong Makanan Laut Huanan di Wuhan pada bulan lalu merebak dengan cepat ke seluruh negara dan empat benua.

Minggu lalu, Beijing bertindak menggantung lawatan kumpulan pelancong domestik dan antarabangsa selain mengenakan sekatan ke atas pengangkutan awam sebagai langkah untuk membendung koronavirus tersebut.

Langkah itu dibuat selepas Wuhan dan beberapa bandar lain mengenakan langkah kuarantin dan menyebabkan kira-kira 50 juta penduduk kini terperangkap. - Agensi