Pemotong ikan mati ditikam dalam asrama restoran

Pemotong ikan ditemui mati ditikam empat kali dalam asrama dihuninya di Jalan Thean Teik, Bandar Baru Air Itam, Pulau Pinang.
Pemotong ikan ditemui mati ditikam empat kali dalam asrama dihuninya di Jalan Thean Teik, Bandar Baru Air Itam, Pulau Pinang.
A
A
A

GEORGETOWN - Seorang pekerja warga Myanmar ditemui maut dengan empat kesan tikaman termasuk pada leher dalam sebuah bilik asrama di Jalan Thean Teik, Bandar Baru Air Itam di sini hari ini.

Mangsa dikenali sebagai Ah Soo, 40, yang bekerja sebagai pemotong ikan di sebuah restoran dijumpai dalam keadaan tertiarap dan berlumuran darah dalam bilik di rumah kedai lima tingkat kira-kira jam 3.20 pagi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, kejadian berlaku di salah sebuah bilik di tingkat satu yang dijadikan asrama pekerja restoran makanan laut.

"Pemeriksaan ke atas mangsa mendapati, terdapat empat kesan tikaman pada mayat iaitu satu di leher, satu di bahu kiri dan dua di bahagian dada.

"Tikaman di leher terkena pada urat manakala di dada pula, salah satu tikaman menembusi jantung mangsa yang baru sahaja enam bulan bekerja di restoran berkenaan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Menurutnya, tikaman di leher dan dada yang mengenai jantung adalah dua kecederaan serius dan punca kepada kematian mangsa.

"Tikaman disyaki menggunakan objek tajam dan panjang. Kesan luka tikaman (bahagian dada) sangat dalam sehingga menembusi rongga dada," katanya.

Katanya, rumah kedai itu turut didiami tujuh pekerja restoran tersebut terdiri daripada enam warga Myanmar dan seorang warga tempatan.

Artikel Berkaitan:

"Mangsa dipercayai tinggal di bilik nombor lima bersama isterinya namun wanita itu mendakwa tidak melihat kejadian tersebut walaupun sebelum itu mangsa didakwa memukulnya dalam keadaan mabuk.

"Wanita itu kemudian bersembunyi dalam bilik rakannya sebelum terdengar mangsa menjerit dalam keadaan marah. Pada ketika itu juga berlaku pertengkaran mulut dengan dua suspek juga warga Myanmar," katanya.

Soffian berkata, berdasarkan keterangan saksi, mereka mendengar bunyi bising orang bergaduh itu kira-kira jam 2 pagi.

"Saksi ternampak mangsa memegang bahu kirinya dalam keadaan berdarah dan ada masa sama suspek pertama dilihat memegang sebilah pisau pendek, manakala suspek kedua memegang sebilah pisau panjang.

"Kedua-dua suspek hilang dipercayai melarikan diri. Susulan itu, polis sedang mengesan dua lelaki Myanmar yang dikenali sebagai Ah Win, 26 dan Khaw Tein, 30 dan kedua-duanya tukang masak dan pelayan," katanya.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.