X

Kindly register in order to view this article
!

Koronavirus: Menteri Pelancongan tidak setuju Masjid Putra ditutup

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi dan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mempengerusikan Mesyuarat Khas dan Sesi Taklimat Isu 2019 Novel Koronavirus di Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya hari ini. - Foto Bernama
A
A

PUTRAJAYA - Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi tidak bersetuju terhadap penutupan lokasi tumpuan termasuk Masjid Putra daripada dikunjungi pelancong.

Tegasnya, kesemua pelancong yang tiba di Malaysia adalah sihat.

"Ia tindakan salah. Bagaimana kamu boleh cakap ia untuk pencegahan (penyebaran koronavirus) sedangkan mereka sihat," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Masjid Putra ditutup kepada bukan Islam, hanya untuk solat

Ahad lalu, Masjid Putra mengambil langkah menutup lawatan bagi pengunjung bukan Islam susulan kebimbangan penyebaran koronavirus.

Masjid itu hanya dibuka kepada Muslim untuk menunaikan solat.

Menurutnya, kementerian akan menghantar surat kepada pengusaha pelancongan untuk menerangkan situasi semasa koronavirus.

"Tolong jangan halang pelancong untuk melawat tempat yang perlu dan diingini mereka," katanya pada sidang media selepas mesyuarat khas dan taklimat bersama kementeriannya dan Kementerian Kesihatan Malaysia, di pejabatnya, hari ini.

Menyentuh mengenai langkah kerajaan menggantung visa kepada pelancong wilayah Hubei dan kawasan terjejas wabak itu di China, Mohamaddin berkata, tindakan berkenaan tidak menjejaskan sasaran ditetapkan kementerian sempena Tahun Melawat Malaysia 2020.

"Kita masih kekalkan sasaran 30 juta pelancong dan RM100 bilion pendapatan dapat dicapai.

"Kita ada pelancong dari Australia, England dan seluruh dunia," katanya.

Menurutnya, Malaysia mempunyai pengalaman yang cukup dalam mengendalikan wabak.

"Saya masih lagi bersemangat tinggi, agenda nasional akan diteruskan," katanya.

Semalam, kerajaan mengumumkan langkah penggantungan kemudahan imigresen kepada penduduk Hubei dan bandar Wuhan serta sekitarnya.

Kemudahan imigresen berkenaan termasuklah eNTRY (kemudahan tanpa visa), Visa Semasa Ketibaan (Visa on Arrival), e-visa dan visa manual.