Garap pendekatan RAHMAH dalam pentadbiran Islam: Mujahid

Mujahid Yusof
Mujahid Yusof
A
A
A

PUTRAJAYA - Pendekatan RAHMAH menjadi garapan utama dalam dasar pentadbiran Islam Malaysia pada 2020.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, setiap program yang dirancang, pelan strategik atau sasaran kerja tahunan semua agensi hendaklah lebih tersusun dengan memberi tumpuan penuh kepada advokasi mesej RAHMAH agar ia difahami di semua peringkat masyarakat.

Pendekatan RAHMAH merujuk kepada R=Ramah; A=Aman; H=Harmoni; M=Mesra; A=Alami; H=Hormat.

Mujahid berkata, dasar pentadbiran Islam melalui pendekatan RAHMAH ialah untuk mewujudkan sebuah masyarakat yang sejahtera dengan kehidupan yang aman dan harmoni, keperluan ekonomi dan sosial yang terjamin, menghormati kemuliaan sesama insan dan saling menerima kepelbagaian tanpa mengira bangsa dan agama.

"Fokus kerja kita pada tahun ini ialah bagaimana hendak menyampaikan intipati dasar ini bagi melahirkan sebuah masyarakat RAHMAH dan memberi justifikasi mengapa ia perlu dilaksanakan dan keperluannya kepada negara," katanya ketika menyampaikan amanat tahun baharu 2020 baru-baru ini.

Mujahid juga mahu pada 2020, persepsi negatif yang ditimbulkan terhadap pentadbiran Islam khususnya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), yang sering menjadi bahan kecaman segelintir masyarakat, diperbetulkan walaupun sebahagian besar persepsi itu adalah sikap prejudis atau tidak semuanya benar.

Dalam hal ini, katanya agensi berkenaan perlu memastikan setiap program dan aktiviti yang dilaksanakan bersifat 'national solution based mindset' supaya memberi impak lebih besar kepada ummah secara keseluruhan.

Mujahid juga mahu pendekatan RAHMAH yang bersifat progresif dan inklusif selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG), dipromosikan ke peringkat global bagi membolehkan semua pihak atau individu merasai dan mengakui bahawa Islam merupakan agama yang membawa rahmat ke seluruh alam.

Artikel Berkaitan:

"Beberapa sesi pembentangan dasar ini telah dibuat di peringkat antarabangsa tahun lepas. Tetapi masih belum mencukupi dan perlu diteruskan tahun ini, bagi menunjukkan kepada dunia bahawa RAHMAH merupakan satu gagasan yang realistik, inklusif dan universal dan sesuai dilaksana dalam semua keadaan,” katanya.

Beliau juga berharap intipati dan mesej RAHMAH dapat diterapkan dalam pelbagai kaedah pengajaran dan pembelajaran di sekolah-sekolah serta Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di bawah seliaan Jakim. - Bernama