Puluhan babi hutan sering ceroboh kampung

Ancaman babi liar sering merosakkan tanaman penduduk Kampung Parit 1 Barat dan Sungai Lias di sini.
Ancaman babi liar sering merosakkan tanaman penduduk Kampung Parit 1 Barat dan Sungai Lias di sini.
A
A
A

SUNGAI BESAR - Penduduk Kampung Parit 1 Barat dan Sungai Lias di sini, resah berikutan tanaman mereka dimusnahkan puluhan babi hutan yang memasuki kawasan kampung sejak tiga tahun lalu.

Seorang penduduk, Rahim Hassan, 61, berkata, haiwan itu sering merosakkan tanaman seperti ubi, pisang, anak pokok kelapa dan tebu sehingga mengakibatkan kerugian kepada mereka.

Menurutnya, haiwan itu juga boleh mengancam keselamatan penduduk jika keadaan itu dibiarkan berterusan.

“Penduduk buntu memikirkan kerugian yang terpaksa mereka tanggung. Mereka tanam pokok hari ini tetapi musnah keesokannya," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Parit 1 Barat, Mohamad Baharin Hamid berkata, kumpulan haiwan ini kerap dilihat keluar dari kawasan hutan pada lewat petang.

Katanya, sebahagian penduduk terpaksa mengeluarkan kos memasang pagar bagi menangani masalah tersebut.

"Kami juga memasang perangkap untuk menghalang haiwan daripada menceroboh masuk ke kampung namun usaha itu kurang berhasil," katanya.

Mohamad Baharin berkata, aduan turut dibuat kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan) dan operasi yang dilakukan dibantu penduduk dapat mengurangkan masalah ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Perhilitan Selangor dalam kenyataannya berkata, pihaknya telah berjumpa dengan komuniti kampung untuk tindakan lanjut.

"Kawasan tersebut memang kawasan konflik manusia dan hidupan liar. Kami sudah memasang perangkap sebelum ini," katanya kepada Sinar Harian menerusi aplikasi WhatsApp.