Koronavirus: Petugas kesihatan di lima lokasi di Langkawi

Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Pejabat Kesihatan Daerah Langkawi,Yusairi Ismail (kiri) membuat saringan suhu badan di laluan ketibaan antarabangsa feri dari Koh Lipe, Thailand di Terminal Feri Kuah hari ini. - Foto Bernama
Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Pejabat Kesihatan Daerah Langkawi,Yusairi Ismail (kiri) membuat saringan suhu badan di laluan ketibaan antarabangsa feri dari Koh Lipe, Thailand di Terminal Feri Kuah hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

LANGKAWI - Pejabat Kesihatan Daerah Langkawi menempatkan petugasnya di lima lokasi sekitar pulau pelancongan ini untuk melaksanakan proses saringan ketibaan pelancong, susulan wabak koronavirus yang melanda beberapa negara termasuk Malaysia ketika ini.

Pegawai Kesihatan Daerah Langkawi, Dr Mohd Lutpiyudin Azidin berkata, lokasi itu adalah di Lapangan Terbang Antarabangsa (LTAB) Langkawi, Terminal Feri Kuah, Awana Porto Malai, Dermaga Tanjung Lembung dan Telaga Harbour Park.

“DI LTAB Langkawi pemeriksaan dilakukan menggunakan 'thermal scanner' manakala pemeriksaan di empat lagi lokasi iaitu laluan ketibaan antarabangsa Terminal Feri Kuah, Dermaga Tanjung Lembong, Awana Porto Malai dan Telaga Harbour Park menggunakan alat pemeriksaan suhu badan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sementara itu, Pengurus LTAB Langkawi Jefry Ramli berkata, terdapat sekurang-kurangnya empat hingga lima penerbangan antarabangsa sehari tiba di lapangan terbang itu.

“Penerbangan antarabangsa ke Langkawi melibatkan Scoot Airlines dan AirAsia dari Singapura; Malindo Air dari China iaitu Chengdu, Kunming, Ningbo dan Nanjing; Qatar Airways dari Doha, Qatar serta TUI Airways dari Manchester, Birmingham dan Gatwick di United Kingdom.

“Pihak LTAB Langkawi dan Pejabat Kesihatan Daerah Langkawi sememangnya bekerjasama dalam memantau wabak ini menerusi pintu masuk antarabangsa di lapangan terbang ini,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: