Johor buat pembenihan awan dalam masa terdekat

Jimmy Puah melawat rumah pam Sungai Kemang Kota Tinggi pada Disember lalu. (Gambar Fail).
Jimmy Puah melawat rumah pam Sungai Kemang Kota Tinggi pada Disember lalu. (Gambar Fail).
A
A
A

JOHOR BAHRU - Operasi pembenihan awan akan dilakukan dalam masa terdekat jika taburan hujan masih berkurangan berikutan cuaca panas melanda Johor ketika ini.

Exco Pelaburan, Perdagangan Antarabangsa dan Utiliti, Jimmy Puah Wee Tse berkata, operasi akan dilakukan pada penghujung Januari atau Februari ini berkemungkinan dilakukan lebih daripada sekali berikutan keadaan cuaca panas dijangka berlarutan hingga April ini.

“Kalau situasi tidak berubah, itu akan beri cabaran di Johor untuk kita memastikan tiada gangguan air tetapi kita beri jaminan segala langkah (akan dibuat) agar gangguan air tidak ada ataupun kita cuba untuk minimumkan.

"Kerjasama akan dilakukan dengan Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTEC), Badan Kawal Selia Air Negeri Johor (Bakaj) dan Syarikat Air Johor (SAJ),” katanya pada Majlis Sambutan Tahun Baru Cina di Senibong Cove semalam.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Batu berkata, pihaknya tidak menerima sebarang laporan gangguan air berikutan cuaca panas sepanjang sambutan Tahun Baru Cina.

"Kecuali laporan gangguan bekalan air di Bekok kerana paip pecah, namun ia sudah dibaiki," katanya.

Dalam pada itu, katanya, tahap air di empangan di negeri ini masih berada pada tahap memuaskan, namun pihaknya membuat pemantauan dari semasa ke semasa.

“Di sebelah pantai timur (Johor), sekiranya paras air (empangan) jatuh di bawah paras amaran, kita akan minta air dipam dari (empangan) Seluyut yang dimiliki oleh Petronas dan akan disalurkan ke kawasan pantai timur (Johor),” katanya.

Artikel Berkaitan: