X

Kindly register in order to view this article
!

Rakyat mahu pembinaan empangan baharu di Melaka dipercepatkan

Kebanyakan penduduk Melaka ketika ini bimbang berikutan catuan bekalan air secara harian yang bakal dilaksana Rabu ini.
A
A

MELAKA - Pembinaan Empangan Jernih di Alor Gajah dekat sini perlu dipercepatkan bagi memastikan bekalan air di negeri ini mencukupi, demikian reaksi kebanyakan penduduk Melaka ketika diminta mengulas mengenai catuan bekalan air secara harian yang bakal dilaksana Rabu ini.

Seorang kakitangan awam di Ayer Keroh, Mahfuz Sulaiman, 42, berkata, pihak yang bertanggungjawab membangunkan projek itu perlu mempercepatkan pembinaannya kerana bilangan penduduk di negeri ini khususnya di daerah Melaka Tengah semakin bertambah.

“Apabila empangan itu siap, rakyat akan mendapat banyak manfaat termasuk pembinaan jalan raya, bekalan elektrik yang mencukupi dan mengelakkan banjir. Paling penting penduduk dapat air yang mencukupi untuk jangka masa panjang,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Pelaksanaan catuan bekalan air adalah perlu bagi membolehkan air disalurkan kepada pengguna secara berterusan tanpa menunggu perkhidmatan tangki air ke kawasan mereka.

Empangan Jernih dengan kos RM168 juta itu merupakan empangan keempat di negeri ini. Melaka kini mempunyai tiga empangan iaitu Empangan Durian Tunggal di Alor Gajah, manakala Empangan Jus dan Empangan Asahan di Jasin.

Berkongsi pandangan sama, seorang pelajar universiti awam, Ng Hui Yen, 21, berkata, keputusan kerajaan negeri melaksanakan catuan bekalan air adalah wajar bagi mengawal penggunaan sumber air mentah terutama ketika tahap takungan air di empangan berada pada paras kritikal.

Menurut beliau, catuan air sebagai langkah berkesan bagi mendidik pengguna menghargai keperluan penjimatan air, bagaimanapun pembinaan empangan baharu perlu disegerakan bagi meningkatkan kapasiti air sekali gus mengelak masalah bekalan air berulang.

“Bila ada banyak air yang disimpan, air berkenaan dapat digunakan semasa musim kemarau dan itulah kegunaan empangan iaitu untuk menyimpan dan membekalkan air yang mencukupi kepada penduduk di sekitar,” katanya.

Bagi seorang pekerja swasta dari Alor Gajah, Kaviarasan Anbarasan, 29, pendekatan catuan bekalan air memberi peluang kepada penduduk untuk merancang penggunaan dan penyimpanan air kerana pengagihan bekalan akan dilakukan secara berjadual.

“Saya perlu menyimpan air yang mencukupi untuk kegunaan harian. Walaupun kerajaan negeri sebelum ini memberi jaminan bahawa tidak akan berlaku lagi krisis air di Melaka, saya tetap mengambil langkah awal menadah air agar tidak kelam kabut jika bekalan air terputus,” katanya.

Khamis lepas, Ketua Menteri Adly Zahari dilaporkan berkata, Melaka akan melaksanakan catuan bekalan air secara harian bermula 29 Jan ini melibatkan melibatkan 550,673 orang iaitu 62.8 peratus penduduk di negeri ini.

Adly dipetik sebagai berkata, ia bagi memastikan bekalan air mencukupi untuk menghadapi cuaca panas dan kering dalam fasa kedua Monsun Timur Laut yang dijangka berakhir Mac ini, bagaimanapun catuan itu tidak melibatkan hospital, kawasan industri dan pusat pelancongan. - Bernama