Lima keluarga, anak yatim dirai sempena Tahun Baru Cina

Bee Chan (tiga dari kiri) menyerahkan angpau dan barangan makanan kepada keluarga terpilih sempena sambutan Tahun Baru Cina.
Bee Chan (tiga dari kiri) menyerahkan angpau dan barangan makanan kepada keluarga terpilih sempena sambutan Tahun Baru Cina.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Sebanyak lima keluarga dan rumah anak yatim diraikan sempena sambutan Tahun Baru Cina di bawah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Pantai Hospital Sungai Petani dan Pantai Hospital Laguna Merbok di sini baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tio Bee Chan berkata, kerjasama itu bertujuan membantu golongan kurang berkemampuan selain memeriahkan lagi suasana sambutan Tahun Baru Cina.

Menurutnya, setiap penerima diberikan angpau dan barangan makanan bernilai lebih RM2,000 untuk menceriakan sambutan perayaan.

“Sumbangan itu membolehkan mereka membuat persediaan menyambut perayaan dengan lebih meriah.

"Pihak hospital sentiasa menyokong program pembangunan sosial masyarakat dan sumbangan ini adalah tanggungjawab sosial korporat melalui peruntukan tahunan hospital dan sumbangan daripada pakar-pakar perubatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Katanya, Pantai Hospital Sungai Petani dan Pantai Hospital Laguna Merbok bukan sahaja memfokuskan kepada kemudahan perkhidmatan perubatan malah komited menghulurkan bantuan kepada golongan memerlukan termasuk bantuan kepada pesakit kurang berkemampuan.

“Tahun Baru Cina ini perlu dijadikan usaha pengukuhan bersama masyarakat selain menunjukkan semangat muhibah dan hormat-menghormati antara satu sama lain demi membina sebuah masyarakat penyayang,” katanya.

Sebelum ini, Pantai Hospital Sungai Petani turut menganjurkan pelbagai program dan aktiviti amal melibatkan anak-anak yatim, warga emas dan ibu tunggal hampir setiap tahun.

Artikel Berkaitan:

Aktiviti amal ini diadakan pada bulan perayaan bagi mengurangkan beban golongan yang tidak berkemampuan.