X

Kindly register in order to view this article
!

Mahkamah benar lucut hak lebih RM32,000 daripada UMNO Kelantan

A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan permohonan pendakwaan bagi melucut hak ke atas wang berjumlah RM32,962.87 yang disita daripada Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan.

Wang tersebut yang disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tahun lepas didakwa berkaitan dengan skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh membuat keputusan itu dengan alasan bahawa pemohon (pendakwaan) berjaya membuktikan bahawa wang itu adalah hasil daripada kegiatan yang menyalahi undang-undang.

“Kerajaan berhak ke atas jumlah pokok dan faedah yang disimpan dalam satu akaun CIMB,” kata hakim itu.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya dari SPRM, Nik Haslinie Hashim ketika ditemui di luar mahkamah berkata, permohonan pelucuthakan oleh pendakwaan memenuhi Seksyen 56 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan diwakili peguam Nurul Hazreen Ahmad Kamal.

Tindakan pelucuthakan itu berikutan kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya tahun lepas untuk memperoleh semula dana RM270 juta daripada 1MDB.

Dana itu didakwa dipindahkan dari akaun peribadi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kepada pihak ketiga. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus