X

Kindly register in order to view this article
!

ALLAH akan meninggikan darjat mereka yang maafkan orang lain

MEMAAFKAN individu lain merupakan tanda-tanda orang bertakwa dan antara sifat tertinggi bagi mereka yang beriman.
A
A

"TIADA maaf bagimu."

Ayat itu begitu ringkas dan padat. Namun, sudah cukup untuk mencengkam sanubari bagi sesiapa yang menantikan balasan kata-kata pemberian maaf selepas membuat permohonan ampun tersebut.

Andai kata, ayat tersebut yang terdetik dalam hati, pastinya golongan berkenaan terlupa bahawa tiada manusia di dunia yang tidak berbuat kesalahan. Sudah tentu ada kekhilafan di mana-mana.

Benar, bukan mudah sebenarnya untuk memaafkan seseorang. Ia tidak semudah mengungkapkannya hanya pada bibir. Namun, perlu lahir dari lubuk hati yang paling dalam.

Ketahuilah bahawa apabila memaafkan orang lain, ia bukan sahaja membuatkan hati si pesalah tadi berasa tenang, tetapi ALLAH turut akan menurunkan ketenangan itu kepada kita. Bahkan, ALLAH juga begitu memuliakan mereka yang memaafkan orang lain. Justeru, apakah kelebihan apabila kita belajar memaafkan? Kenapa sifat itu begitu dipandang mulia di sisi Islam?

Tuntutan Islam

Membutirkan lanjut tentang topik itu, Sinar Islam mewawancara pendakwah Ustaz Fauzi Mustafa.

USTAZ FAUZI
USTAZ FAUZI

Ujar Ustaz Fauzi, memaafkan kesalahan orang lain adalah dituntut dalam agama Islam. Islam adalah agama perdamaian dan kemaafan.

Beliau turut mengajak kita mengingati kembali kisah Nabi Yusuf AS yang mana baginda telah dibuang ke dalam sebuah telaga buta ketika masih kecil. Perbuatan itu dilakukan oleh adik-beradiknya akibat rasa cemburu mereka terhadap baginda AS.

"Apabila Nabi Yusuf sudah menjadi orang yang berkuasa di Mesir, baginda AS tidak berdendam. Malah, baginda memaafkan adik-beradiknya.

"Benar, memaafkan kesalahan orang lain merupakan sifat orang mulia. Dalam al-Quran pun disebut banyak kali supaya kita memaafkan orang lain," katanya ketika dihubungi Sinar Islam baru-baru ini.

Firman ALLAH SWT: "Jadilah pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan yang makruf serta jangan mempedulikan orang-orang yang jahil." (Surah al-A'raf, ayat 199)

Dalam pada itu, jelas Ustaz Fauzi, agak mustahil untuk kita melupakan suatu perkara apatah lagi jika ia pahit untuk dikenang.

"Itu memang fitrah manusia. Ingatlah bahawa melupakan itu bukan kerja kita. Itu adalah kerja ALLAH SWT. ALLAH tidak menyuruh kita melupakan, tetapi memaafkan.

"Nabi Muhammad SAW sendiri pun masih ingat lagi apa yang Abu Jahal dan musuh-musuh Islam lain lakukan terhadap baginda. Bahkan, apabila kita melupakannya, kita boleh terjebak kembali ke 'lubang' yang sama," jelas beliau.

Sifat ALLAH, para anbiya

Ustaz Fauzi meneruskan perkongsian ilmunya. Kali ini, beliau menyentuh tentang kehebatan dan kemuliaan orang yang memaafkan kesalahan orang lain.

APABILA bertaubat, jangan lupa memohon maaf kepada individu yang telah kita sakiti hatinya supaya segala kekhilafan kita diampunkan oleh ALLAH SWT.
APABILA bertaubat, jangan lupa memohon maaf kepada individu yang telah kita sakiti hatinya supaya segala kekhilafan kita diampunkan oleh ALLAH SWT.

Agamawan itu menjelaskan, ALLAH SWT akan mengampunkan kesalahan orang yang memaafkan orang lain.

"Semua sifat ALLAH, kita boleh tiru kecuali satu sahaja iaitu takabbur (membesarkan dirinya). Ingatlah bahawa kita tidak boleh membesarkan diri kita.

"Namun, apabila ia melibatkan sifat ALLAH yang lain seperti ar-Rahman (pengasih), ar-Rahim (penyayang), al-Adlu (adil) dan al-'Afuwwu (pemaaf), kita boleh lakukan. Ia merupakan satu perbuatan mulia apabila kita meniru sifat-sifat ALLAH itu. Apabila kita memaafkan orang, ALLAH akan mengampunkan dosa kita. Malah, kita akan dekat dengan keampunan-NYA," ujar beliau.

Tambahan pula, tidak akan hilang maruah, jadi hina atau jatuh harga diri seandainya kita memaafkan orang lain. Justeru, maafkanlah orang dan jangan berdendam, ujar beliau.

"Sifat memaafkan telah ditunjukkan oleh Nabi Muhammad SAW ketika peristiwa pembukaan Kota Makkah. Baginda telah memaafkan penduduk Makkah yang pernah menghalau baginda sebelum ini.

"Peristiwa itu menggambarkan bahawa dalam Islam, sifat memaafkan orang lain telah ditunjukkan oleh para anbiya terdahulu. Apabila para nabi buat, itu adalah perintah ALLAH SWT," jelasnya lagi.

Ujar beliau, betapa hebatnya ungkapan kemaafan itu kerana ALLAH akan meninggikan darjat orang yang memaafkan kesalahan orang lain. Tambahnya lagi, perbuatan itu juga adalah sifat para rasul, nabi dan wali-wali ALLAH yang berjiwa hebat!

Sabda Rasulullah SAW: “Harta tidak akan berkurangan dengan sebab sedekah. Dan ALLAH tidak menambah kepada seseorang hamba dengan sebab kemaafan yang diberikan (kepada orang lain), melainkan kemuliaan dan tiada merendah diri seseorang itu melainkan ALLAH akan mengangkatkan darjatnya." (Riwayat Muslim)

Kepada satu soalan, Ustaz Fauzi menjelaskan: "Orang yang mulia suka memaafkan orang lain. Dia bukan orang biasa-biasa. Sebab itulah andai kata, ada orang berbuat salah dengan kita dan dia tidak meminta maaf serta kita juga tidak memaafkannya, nanti di akhirat kelak, orang yang berbuat salah dengan kita akan mencari kita semula.

"Kemudian, dia kena 'bayar' segala kesalahannya kepada kita. Bayaran kesalahan itu adalah dengan pahala. Jika pahalanya habis, tetapi dosanya ada lagi, maka akan diambil dosa daripada orang yang dia pernah berbuat salah dulu, lantas dimasukkan ke dalam 'akaun' dia. Maka, itulah orang yang rugi," jelas beliau.

Tanda orang bertakwa

Bagi memperincikan lebih lanjut, Sinar Islam mendapatkan pandangan pendakwah Ustaz Bakhtiar Fitri Abdul Hamid tentang tuntutan memaafkan kesalahan orang lain.

USTAZ BAKHTIAR FITRI
USTAZ BAKHTIAR FITRI

Ujar agamawan itu, ketahuilah bahawa memaafkan orang lain adalah antara tanda-tanda orang bertakwa sepertimana yang disebutkan dalam ayat 133-134, Surah Ali 'Imran.

"Takwa itu merupakan antara sifat tertinggi bagi orang-orang yang beriman. Untuk memperoleh tahap takwa, perlu memaafkan kesalahan orang lain.

"Dalam sebuah hadis Rasulullah SAW, baginda menceritakan bahawa pada hari kiamat nanti, antara orang-orang yang diutamakan memasuki syurga ALLAH tanpa dihisab atau diringankan hisab adalah orang-orang yang memaafkan orang lain atau reda dengan orang lain walaupun dia disakiti atau dizalimi individu berkenaan," kata beliau.

Sekalipun individu berkenaan tidak menzalimi atau berbuat kesalahan dengan kita, nasihat Ustaz Bakhtiar Fitri, mohon maaflah kepada orang tersebut. Beliau turut memetik kata-kata penuh keinsafan daripada Abdullah Ibnu Abbas bahawa: "Kamu akan berjaya di atas titian sirat kerana ALLAH memaafkan kita."

ALLAH mengampunkan hamba-NYA kerana kesalahan kita kepada manusia lain telah pun dimaafkan, terang beliau.

"Syarat taubat ada empat iaitu menyesal dengan kesalahan, berazam tidak mengulangi kesilapan tersebut, terus membuat kebaikan dan jika melibatkan kesalahan kepada manusia, mohon maaflah kepada orang berkenaan.

"Andai kata kita tidak memaafkan orang, kita akan menyebabkan orang itu tersangkut di atas titian sirat. Contohnya, kalaulah seorang anak tidak reda kepada ayahnya kerana gagal melaksanakan tanggungjawab sebagai bapa seperti mengajar anaknya solat dan lain-lain, ayah berkenaan juga tidak dapat melepasi titian sirat berkenaan selagi tidak mendapat kemaafan anak. Jadi, perlunya ibu bapa untuk memohon kemaafan daripada anak masing-masing," ungkap beliau.

Meskipun individu yang dianiayai berhak mendoakan yang tidak elok kepada si pelaku, kata Ustaz Bakhtiar Fitri, sebaiknya maafkanlah orang berkenaan.

"Contohilah sikap pemaaf Rasulullah SAW tatkala beliau dibaling dengan batu hingga berdarah badan baginda. Walaupun baginda ditawarkan oleh Malaikat Jibril untuk membalas perbuatan penduduk Taif berkenaan, namun baginda menolaknya. Malah, baginda memaafkan individu berkenaan.

"Dunia kita pada hari ini sangat menuntut orang yang boleh memaafkan kesalahan orang lain, bertolak-ansur dan berlapang dada dengan kelemahan orang. Itulah antara kesempurnaan apabila kita bahagia. Mudah-mudahan dengan sebab kita memaafkan orang akan menyebabkan orang memaafkan kita," jelas beliau.

'Mohon ALLAH bukakan pintu hati orang untuk maafkan kita'

Seandainya permohonan maaf yang dipinta daripada individu berkenaan tidak diterima, kita disarankan untuk meminta pertolongan orang tengah dalam usaha menyelesaikan perkara tersebut.

Menurut Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Mohd Noor, sebolehnya individu tersebut mestilah dalam kalangan orang yang disegani untuk menasihati mereka yang enggan memaafkan kesalahan kita sebelum ini.

WAN SALIM
WAN SALIM

"Orang tengah berkenaan handaklah mengingatkannya tentang ganjaran pahala lumayan bagi sesiapa yang memaafkan kesalahan orang terhadapnya, malah kesalahannya sendiri akan diampunkan oleh ALLAH SWT kerana kesudiannya memaafkan orang," jelasnya kepada Sinar Islam.

Dalam perihal meminta maaf itu, agamawan itu berkata, ia terpulang kepada seseorang untuk memilih tatacara permohonan kemaafan menurut situasi yang difikirkan terbaik.

"Contohnya, dengan sering menyampaikan salam, mengucapkan selamat hari jadi, memberi hadiah-hadiah tertentu, membelanja makan dan sebagainya.

"Untuk membuat permohonan maaf, dianjurkan pilih keadaan dan waktu yang sesuai serta munasabah seperti sempena sambutan hari raya, hari lahir dan sebagainya," ujar beliau.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, Dr Mohammad Nidzam Abdul Kadir berkata, seandainya kita sudah berusaha sedaya mungkin untuk memohon maaf, tetapi tidak berhasil memohon kemaafan daripada individu tersebut, maka berdoalah kepada ALLAH memohon agar dibukakan pintu hatinya.

MOHAMMAD NIDZAM
MOHAMMAD NIDZAM

"Mudah-mudahan individu berkenaan terbuka hatinya untuk memaafkan kesalahan kita. "Bagaimanapun, jika kita melakukan kesalahan kepada orang yang sudah sekian lama tidak berhubung serta bersua dengannya setelah pelbagai usaha dilakukan, berdoalah semoga ALLAH mengampuni dosa kita," ujar beliau.