Songlap RM24.2 juta: Suspek bahagi komisen ikut tugas

Ramli
Ramli
A
A
A

KUALA LUMPUR - Suspek kes kehilangan wang tunai RM24.2 juta dari akaun simpanan tetap sebuah bank dilaporkan membahagikan komisen hasil penipuan mengikut peranan tugas yang dijalankan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, siasatan pihaknya mendapati suspek masing-masing menerima pembayaran komisen sekitar RM100,000 sehingga RM240,000.

Menurutnya, ini susulan penahanan seramai 14 individu terdiri daripada lapan lelaki dan enam wanita berusia 22 hingga 53 tahun telah ditahan sejak 13 Jun lalu termasuk empat pegawai bank disyaki terlibat dengan jenayah terancang ini.

"13 suspek ditahan di sekitar Kota Kinabalu, Sabah dan seorang lagi ditahan di Padang Besar, Perlis.

"Empat pegawai bank ini terdiri daripada pengurus dan penyelia simpanan tetap. Sindiket penipuan ini adalah satu jenayah terancang membabitkan dari dalam dan luar bank yang bersubahat bagi urusan pengeluaran wang simpanan tetap yang telah dikenalpasti," katanya dalam sidang akhbar di Menara KPJ di sini pada Jumaat.

Antara kenderaan yang dirampas polis untuk siasatan kes kehilangan wang tunai RM24.2 juta dari akaun simpanan tetap sebuah bank.
Antara kenderaan yang dirampas polis untuk siasatan kes kehilangan wang tunai RM24.2 juta dari akaun simpanan tetap sebuah bank.

Beliau berkata, terdapat empat mangsa dalam kes ini iaitu pemilik akaun simpanan tetap membabitkan tiga pemilik akaun bank di Selangor dan satu di Perak.

Kata Ramli, pengeluaran wang pertama secara tunai di kaunter bank berjaya dilakukan sindiket sekitar April lalu dan disusuli beberapa pengeluaran seterusnya pada Mei serta Jun.

Artikel Berkaitan:

Ramli berkata, pengeluaran wang ini berjaya dilakukan melalui pakatan dalaman dengan cara mematuhi prosedur pengeluaran wang yang ditetapkan pihak bank sehingga menjadikannya tidak dapat dikesan.

"Kegiatan penipuan ini mula terbongkar apabila salah seorang pemilik akaun simpanan yang juga mangsa hadir ke bank untuk membuat pengemaskinian akaun simpanan tetapnya.

"Mangsa membuat laporan polis pada 6 Jun lalu sebelum satu pasukan siasatan dibentuk untuk menyiasat kegiatan pengeluaran wang tanpa kebenaran dan pemilik akaun sebenar," katanya.

Katanya, suspek yang terbabit juga mempunyai kepakaran dalam memalsukan sistem biometrik pada kad pengenalan dan data milik mangsa.

"Siasatan polis percaya pakatan sindiket ini telah dilakukan sejak tahun lalu," ujarnya.

Polis menahan 14 individu untuk siasatan kes kehilangan wang tunai RM24.2 juta dari akaun simpanan tetap sebuah bank.
Polis menahan 14 individu untuk siasatan kes kehilangan wang tunai RM24.2 juta dari akaun simpanan tetap sebuah bank.

Selain tangkapan suspek, polis juga merampas sembilan kenderaan pelbagai jenis, wang tunai RM1.93 juta, telefon bimbit, kad ATM, kad debit, kad kredit, barangan berharga serta dokumen yang mempunyai kaitan dengan aktiviti jenayah yang dilakukan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!