Kakitangan bank diberkas, kes wang akaun simpanan tetap lesap

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang kakitangan bank telah ditahan bagi membantu siasatan kes kehilangan wang dari akaun simpanan tetap melibatkan kerugian RM24.2 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, suspek berusia 38 tahun itu telah ditahan di Kota Kinabalu, Sabah pada Khamis.

Ramli
Ramli

"Siasatan setakat ini mendedahkan terdapat penglibatan ahli sindiket dari dalam dan luar bank yang bersubahat bagi urusan pengeluaran wang berkaitan memandangkan ia hanya boleh dilakukan melalui pakatan dalaman," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Ramli berkata, melalui serbuan yang dijalankan, pihaknya turut merampas tiga unit telefon bimbit beserta kad sim, lapan kad mesin juruwang automatik (ATM) pelbagai bank, wang tunai RM4,400 dan sebuah komputer riba.

"Pasukan penyiasat juga sedang dalam usaha mengesan dan menangkap beberapa individu lain yang telah dikenal pasti," katanya.

Mengulas lanjut, Ramli berkata, pihaknya menerima empat laporan polis berkait kehilangan wang dari akaun simpanan tetap di Petaling Jaya, Selangor pada awal Jun.

"Pengadu yang terdiri daripada pemilik akaun dan kakitangan bank memaklumkan terdapat pengeluaran wang mencurigakan yang dilakukan secara tunai di Kota Kinabalu, melibatkan beberapa akaun simpanan tetap di bank tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Kesemua pemilik akaun yang terlibat menafikan pengetahuan mereka tentang perkara tersebut dan tidak pernah ke Kota Kinabalu bagi membuat pengeluaran sebagaimana didakwa," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat dibawah seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Siasatan kes ini dilaksanakan dengan sebaiknya selaras dengan peruntukan undang-undang bagi memastikan pelaku yang terlibat dihadapkan ke mahkamah," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!