Empat lelaki tunggang motosikal lawan arus ditahan

Polis melaksanakan Op Selamat 16 di Plaza Tol Kemuning, Shah Alam, kelmarin.
Polis melaksanakan Op Selamat 16 di Plaza Tol Kemuning, Shah Alam, kelmarin.
A
A
A

SHAH ALAM - Tindakan sekumpulan penunggang motosikal yang menunggang secara melawan arus untuk mengelak sekatan jalan raya diadakan polis ketika Op Selamat 16 sempena sambutan Tahun Baru Cina di Plaza Tol Kemuning, di sini, kelmarin hanya sia-sia kerana mereka semua berjaya ditahan.

Jurucakap polis berkata, operasi bermula jam 10 malam itu mengesan empat penunggang motosikal berusia lingkungan 19 hingga 25 tahun cuba mengelak daripada pemeriksaan penguat kuasa.

"Empat lelaki itu menunggang secara melawan arus tanpa menghiraukan keselamatan diri dan pengguna jalan raya lain.

"Bagaimanapun, cubaan mereka berjaya digagalkan selepas polis mengepung laluan tersebut," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata, semakan mendapati, antara penunggang itu dikesan tidak memiliki lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh, tidak menggunakan cermin sisi dan nombor plat yang tidak lengkap.

Menurutnya, mereka direman dua hari untuk siasatan di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, dalam operasi sama polis menahan tujuh lelaki termasuk seorang warga asing selepas hasil ujian air kencing mereka didapati positif dadah.

"Selain itu, sebanyak 128 turut dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik seperti masalah lampu brek dan muatan bahaya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Operasi itu diketuai Inspektor Penguat kuasa Lebuhraya Zon Tengah B EMPV Kesas Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Inspektor Muhamad Alwi Mustapa itu turut dilaksanakan dengan kerjasama JSPT Selangor serta Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).