Malaysia Airlines dan strategi kita

A
A
A

REUTERS melaporkan bahawa terdapat beberapa syarikat penerbangan gergasi antarabangsa yang sedang bersaing untuk melabur dalam syarikat penerbangan negara, Malaysia Airlines.

Laporan bertarikh 21 Januari 2020 tersebut pada awalnya memperincikan syarikat Perancis dan Belanda iaitu Air France-KLM sebagai salah satu pihak yang sedang membuat tawaran untuk memiliki 49 peratus pegangan dalam Malaysia Airlines. Namun begitu, pihak Air France-KLM kemudiannya membuat kenyataan menjelaskan bahawa mereka tidak lagi terlibat dalam rundingan berkenaan buat masa ini.

Selain Air France-KLM, beberapa syarikat lain yang dilaporkan oleh Reuters ialah AirAsia Group Bhd, Malindo Air, iaitu unit domestik Lion Air di Malaysia, dan juga Japan Airlines (JAL). Laporan Reuters itu selari dengan pendedahan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa terdapat lima cadangan sudah diterima oleh kerajaan sebagai sebahagian kajian hala tuju Malaysia Airlines yang bermula tahun lalu.

Satu hal kritikal yang dinyatakan oleh sumber Reuters (yang dirahsiakan) berkenaan kelima-lima tawaran ini ialah hakikat bahawa ‘satu penyelesaian antarabangsa mungkin lebih baik dalam situasi ini kerana AirAsia akan mempunyai kebimbangan berhubung persaingan’.

Hal ini bermaksud Malaysia Airlines kini berkemungkinan untuk mencabar monopoli AirAsia di mana sumber tersebut menyebut secara khusus bahawa JAL 'menawarkan untuk menjadikan Malaysia sebagai hab serantau, termasuk bagi penerbangan tambang rendah'. JAL secara khusus dilaporkan membuat tawaran untuk memiliki 25 peratus pegangan dalam Malaysia Airlines.

Walau apa sekali pun keputusan yang akan dibuat oleh kerajaan, kita harapkan supaya ia akan membuka lembaran baru buat Malaysia Airlines – bukan sahaja di dalam negara, bahkan juga di pentas antarabangsa.

Pastinya kita tidak akan lupa bagaimana reputasi Malaysia Airlines terjejas hanya dalam tempoh beberapa bulan pada tahun 2014 susulan peristiwa kehilangan misteri MH370 yang menuju ke China dan tragedi MH17 yang ditembak jatuh dalam krisis Rusia-Ukraine.

Begitu juga apabila Malaysia Airlines menjadi kontroversi politik tiga segi antara bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dan Rafizi Ramli pada tahun 2017. Ketika itu, Najib mengejutkan rakyat Malaysia dalam pertemuan beliau dengan Trump apabila menawarkan untuk membeli pesawat-pesawat baru dari Boeing yang dianggarkan berjumlah AS$10 bilion (atau RM42 bilion) dalam tempoh 5 tahun.

Artikel Berkaitan:

Rafizi menyuarakan ‘rasa bimbang’ dengan kemungkinan ‘campur tangan terus Najib dalam hal ehwal pembelian pesawat-pesawat baru MAS’. Malah beliau menyoal “Adakah keputusan untuk membeli 8 Boeing 787 Dreamliners itu keputusan Lembaga Pengarah MAS yang telah melalui proses penilaian yang sewajarnya yang menepati strategi perniagaan MAS, atau itu keputusan politik Najib?” Ketika itu Rafizi juga mempersoalkan harga yang dirundingkan yang disifatkan sebagai ‘lebih mahal dan tidak telus’.

Hari ini semua kisah dan kontroversi berkenaan telah menjadi sejarah. Kini pertembungan Najib vs Rafizi dalam isu Malaysia Airlines telah berganti pertembungan ‘mesra’ antara Tun Mahathir dan Khazanah.

Tun Mahathir dilaporkan ‘kurang gembira’ dengan kecenderungan Khazanah untuk menggabungkan Malaysia Airlines dengan AirAsia.

Walau apa pun hasil akhir ‘pertembungan’ terbaru ini, semoga keputusan terbaik dapat dicapai demi kepentingan Malaysia Airlines dan juga maruah kita rakyat Malaysia.

*Abdul Muein Abadi ialah Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)