Pearly-Thinaah mara ke suku akhir Terbuka Indonesia

Beregu wanita negara, Pearly-Thinaah mara ke suku akhir Kejohanan Badminton Masters Indonesia 2026. Foto Bernama
Beregu wanita negara, Pearly-Thinaah mara ke suku akhir Kejohanan Badminton Masters Indonesia 2026. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah tidak berdepan masalah untuk mara ke suku akhir Kejohanan Badminton Masters Indonesia 2026 selepas menyingkir wakil Taiwan Lin Xiao Min-Wang Yu Qiao.

Pada aksi yang berlangsung di Istora Senayan, Jakarta hari ini, pasangan di kedudukan kedua dunia itu mudah menewaskan Xiao Min-Yu Qiao, 21-13, 21-12 dalam masa 48 minit.

Menanti Pearly-Thinaah di suku akhir sama ada pasangan Jepun Kaho Osawa-Mai Tanabe atau gandingan Korea Selatan Kim Yu Jung-Lee Yu Lim yang akan membuat perhitungan bagi pusingan kedua sebentar lagi.

Dalam pada itu, beregu lelaki negara Man Wei Chong-Tee Kai Wun turut mara ke suku akhir selepas menewaskan gandingan India Hariharan Amsakarunan-M R Arjun, 21-17, 9-21, 21-16 dalam masa 54 minit.

Cabaran getir menanti Wei Chong-Kai Wun di suku akhir esok apabila dijadual bertemu pasangan tuan rumah Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani yang juga nombor tujuh dunia.

Perseorangan wanita negara K. Letshanaa juga melangkah ke suku akhir selepas mengatasi pilihan keenam kejohanan dari Kanada Michelle Li, 21-14, 21-14.

Berbeza nasib bagi perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia yang terpaksa pulang awal apabila ditewaskan pemain Thailand Panitchaphon Teeraratsakul, 21-15, 17-21, 8-21.

Beregu campuran negara Hoo Pang Ron-Cheng Su Yi turut tewas kepada pilihan kelima kejohanan dari China Guo Xin Wa-Chen Fang Hui 13-21, 19-21. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah mara ke suku akhir Kejohanan Badminton Masters Indonesia 2026
  • Pasangan Pearly-Thinaah menewaskan Lin Xiao Min-Wang Yu Qiao dari Taiwan dengan mudah
  • Beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun, juga mara ke suku akhir setelah menewaskan gandingan India
  • Perseorangan wanita negara, K. Letshanaa, melangkah ke suku akhir selepas mengatasi Michelle Li dari Kanada
  • Perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia, tewas dan terpaksa pulang awal setelah kalah dengan pemain Thailand

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!