Kerjasama ampuh RTM, sektor swasta mampu pacu siaran langsung Euro 2024

Euro 2024 di Jerman menarik perhatian jutaan peminat bola sepak seluruh dunia. Foto Agensi
Euro 2024 di Jerman menarik perhatian jutaan peminat bola sepak seluruh dunia. Foto Agensi
A
A
A

RATA-RATA peminat sukan bola sepak teruja dengan kehadiran Euro 2024 yang membuka tirai pada pagi Sabtu menemukan Jerman dan Scotland.

Pasukan tuan rumah memulakan kempen Kumpulan A itu dengan langkah kanan apabila membelasah Scotland 5-1.

Namun segenap lapisan rakyat Malaysia masih menantikan berita gembira daripada Kerajaan atau Radio Televisyen Malaysia (RTM) untuk menyiarkan kejohanan berprestih Eropah itu secara percuma.

Penulis mendapat maklum balas dari beberapa peminat sukan nombor satu dunia itu yang masih teruja untuk menonton kejohanan tersebut menerusi kaca televisyen di rumah mereka termasuk yang berada di luar bandar seperti Sarawak dan Sabah.

Jurulatih Pembangunan Bolasepak Sarawak, Mohd Hakimi Man berkata, kejohanan bertaraf sunia termasuk Euro 2024 adalah acara yang paling ditunggu-tunggu oleh mereka.

Beliau berkata, kawasan luar bandar terutama di pendalaman masih belum mendapat liputan televisyen satelit, talian komunikasi selular (telefon pintar) dan ketidakupayaaan untuk melanggan siaran berbayar seperti Astro dan Unifi.

Justeru katanya, mereka bergantung kepada saluran media massa percuma terutama saluran RTM.

"Di Sarawak terutamanya di kawasan luar bandar, bola sepak merupakan sukan yang paling diminati dan dimainkan setiap petang oleh komuniti setempat khususnya penduduk di rumah panjang.

Artikel Berkaitan:

"Ketiadaan siaran langsung di RTM sudah pasti memberikan kekecewaan besar untuk mereka untuk merasai kemeriahan kejohanan bola sepak bertaraf dunia.

"Bagi kita yang tinggal di bandar, ketiadaan siaran Euro 2024 secara percuma di RTM mungkin ia kesan yang kecil, tetapi bagi mereka ia amat besar kerana di situlah mereka menikmati kemeriahan bola sepak, belajar sesuatu yang baharu dan bersatu padu menonton beramai-ramai," katanya yang juga jurulatih Bawah 20 Tahun (B-20) Miri FA itu.

Dalam pada itu, penjaga gol Kelantan Darul Naim (KDN) FC, Khatul Anuar senada dengan Mohd Hakimi yang amat berharap RTM dapat mempertimbangkan siaran langsung kejohanan tersebut.

"Dalam kejohanan itu kita dapat lihat pemain-pemain yang hebat beraksi dan saya memang peminat setia Euro.

"Jadi saya sangat hargai jasa baik RTM kalau dapat hak penyiaran dan tayangan secara percuma ini. Bukan senang melihat Euro, hanya diadakan empat tahun sekali sahaja," katanya.

Pemain Kuching City FC, Amir Amri pula percaya peminat bola sepak tempatan amat menunggu-nunggu siaran langsung berkenaan.

"Saya menyokong supaya RTM siarkan perlawanan Euro secara percuma kerana ramai peminat bola sepak yang ingin menonton kejohanan empat tahun sekali ini. Semoga pihak kerajaan baik hati murah rezeki untuk bagi siaran percuma Euro tahun ini," ujarnya.

Seorang peminat, Muhamad Qadry Ahmad Zabani yang menyokong Perancis amat berharap impiannya untuk menonton pasukan kegemarannya beraksi menjadi kenyataan.

Malah beliau amat menghargai jasa baik RTM sekiranya mereka dapat membeli hak penyiaran Euro kerana tidak semua rakyat Malaysia merupakan pelanggan siaran televisyen berbayar.

"Saya sangat setuju kalau RTM membeli hak penyiaran rasmi Euro 2024 pada tahun ini. Saya merupakan peminat setia Perancis, jadi Euro kali ini memang saya nak tengok pasukan kegemaran saya beraksi.

"Harapan saya, RTM mungkin dengan tajaan pihak swasta dapat membeli hak penyiaran Euro kali ini kerana rakyat Malaysia mudah untuk mengakses ke laman sesawang RTM untuk menonton Euro 2024," katanya.

Penyokong Jerman, Nik Faris Zukeiman pula berpendapat bahawa siaran langsung secara percuma perlu disediakan kepada peminat sekurang-kurangnya bermula saingan suku akhir.

"Tapak penyokong bola sepak Eropah amat besar di Malaysia dan saya rasa akan memberi impak kepada jumlah tontonan sekiranya siaran percuma disediakan oleh kerajaan," katanya.

Ironinya peminat bola sepak Eropah masih menaruh harapan tinggu supaya Kerajaan atau RTM selaku penyiar rasmi negara untuk memberi 'hadiah' kepada rakyat Malaysia yang mahu menonton aksi Euro 2024 secara percuma itu.

Menerusi pasukan-pasukan besar seperti England, Perancis, Jerman, Sepanyol, Itali, Portugal, Croatia, dan Belanda yang bakal bertanding pasti akan ada tarikan besar untuk menonton perlawanan tersebut.

Ia menjamin rating tinggi untuk mana-mana stesen televisyen yang menayangkan kejohanan itu dan RTM juga pastinya boleh ‘menjual’ slot-slot iklan semasa siaran kepada syarikat-syarikat gergasi tempatan dan asing.

*Mohd Fariq ialah penganalisis sukan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!