OPR naik, apa kesan kepada rakyat?

APABILA timbul kemungkinan Kadar Dasar Semalaman (OPR) dinaikkan, reaksi pertama masyarakat lazimnya tertumpu kepada peningkatan bayaran bulanan pinjaman perumahan dan kenderaan.
Persoalan ini amat relevan, terutamanya pada minggu ini apabila Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia (BNM) akan bermesyuarat pada 5 November 2026 bagi menentukan kadar OPR.
Tidak dinafikan, kenaikan OPR boleh meningkatkan komitmen kewangan para peminjam. Namun, adakah kenaikan OPR semestinya membawa berita buruk kepada ekonomi dan rakyat?
Untuk memahami perkara ini, kita perlu melihat dasar monetari dalam konteks yang lebih menyeluruh.
Dasar monetari bersifat dinamik, bukannya statik. Ia perlu sentiasa disesuaikan dengan perkembangan ekonomi semasa, khususnya yang melibatkan pertumbuhan ekonomi, inflasi dan kestabilan kewangan.
Pada Julai 2025, Bank Negara Malaysia (BNM) telah menurunkan OPR sebanyak 25 mata asas daripada 3.00 peratus kepada 2.75 peratus.
Keputusan tersebut merupakan langkah awal untuk mengurangkan risiko kelembapan ekonomi susulan ketidaktentuan perdagangan global, khususnya akibat kenaikan tarif import oleh Amerika Syarikat.
Ketika itu, penurunan OPR bertindak sebagai langkah perlindungan bagi memastikan aktiviti penggunaan, pelaburan dan pembiayaan terus berkembang meskipun ekonomi berdepan kejutan luaran.
Bagaimanapun, perkembangan ekonomi selepas itu menunjukkan daya tahan yang memberangsangkan.
Ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5.2 peratus pada 2025, manakala pertumbuhan bagi sembilan bulan pertama tahun 2026 mencecah 5.5 peratus.
Prestasi ini memberi ruang kepada BNM untuk menilai semula tahap akomodasi dasar monetari.
Sekiranya ekonomi terus berkembang dengan baik, penyesuaian OPR ke paras yang lebih neutral boleh dipertimbangkan tanpa menjejaskan momentum pertumbuhan.
Dalam erti kata lain, kenaikan OPR tidak semestinya bermaksud ekonomi sedang menghadapi masalah.
Sebaliknya, ia boleh mencerminkan keyakinan bahawa ekonomi sudah cukup kukuh untuk beroperasi dengan sokongan dasar monetari yang lebih sederhana.
Kadar pembiayaan turut mempengaruhi agihan modal dalam ekonomi. Kos pembiayaan yang terlalu rendah berpanjangan berisiko mendorong modal ke aktiviti kurang produktif, termasuk pembelian aset untuk tujuan spekulasi.
Sebaliknya, kadar pembiayaan seimbang menggalakkan pelaburan lebih berdisiplin dengan mengutamakan projek berdaya maju, produktif dan bernilai tambah kepada ekonomi negara.
Namun begitu, kesan terhadap rakyat tidak boleh dipandang ringan.
Bagi peminjam yang mempunyai pembiayaan berkadar terapung, kenaikan OPR berpotensi meningkatkan bayaran bulanan, sekali gus mengurangkan pendapatan boleh guna isi rumah.
Penyimpan pula berpeluang menikmati pulangan lebih tinggi melalui deposit tetap atau instrumen simpanan lain yang menawarkan kadar keuntungan lebih kompetitif.
Justeru, kesan OPR berbeza mengikut kedudukan kewangan individu. Peminjam mungkin menanggung kos lebih tinggi, manakala penyimpan berpotensi menikmati pulangan lebih baik.
Akhirnya, persoalan utama bukan sekadar sama ada OPR perlu dinaikkan atau diturunkan.
Sebaliknya, persoalannya ialah sama ada kadar tersebut bersesuaian dengan keadaan ekonomi semasa.
Dasar monetari yang baik bukanlah dasar yang sentiasa mengekalkan kadar pembiayaan pada paras rendah, tetapi dasar yang mampu memastikan kestabilan harga, pertumbuhan ekonomi yang mampan serta penggunaan modal secara produktif.
Justeru, perbincangan mengenai OPR perlu dilihat secara seimbang dan berasaskan fakta, bukannya semata-mata dipengaruhi sentimen terhadap peningkatan kos pembiayaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

