Amah celup tangan bayi dalam periuk panas

Tangan bayi perempuan terbabit alami kesan melecur akibat perbuatan amah terbabit. - Foto: Amy Low Mei Liang/Facebook
Tangan bayi perempuan terbabit alami kesan melecur akibat perbuatan amah terbabit. - Foto: Amy Low Mei Liang/Facebook
A
A
A

SINGAPURA - Polis Singapura menahan seorang amah berusia 30 tahun kerana mendera anak majikannya yang berusia 16 bulan.

Wanita terbabit diberkas pada 15 Januari lalu di Block 992B Buangkok Link.

Butiran penuh tentang kejadian pada 14 Januari lalu itu didedahkan semalam selepas majikannya Amy Low, 40, memuat naik rakaman video berdurasi 46 saat yang diambil daripada sistem kamera litar tertutup (CCTV) di kediamannya di Facebook.

Klip tersebut menunjukkan amah terbabit mencelup tangan kiri bayi perempuan berkenaan ke dalam periuk di atas dapur beberapa kali dan mangsa turut menangis kesakitan.

Difahamkan, rakaman video tersebut telah ditonton lebih 218,000 kali.

"Tubuh saya menggigil selepas melihat rakaman itu. Sejak kejadian itu, anak saya sering menangis.

"Dia masih terlalu kecil. Kami tidak tahu sama ada dia masih sakit atau trauma dengan insiden tersebut," kata Low yang bekerja sebagai akauntan dan mempunyai seorang lagi anak perempuan berumur 8 tahun kepada The Straits Times hari ini.

Menurutnya, amah tersebut dari Myanmar dan mula diambil bekerja pada 7 Disember 2019.

Artikel Berkaitan:

Dia juga mendakwa wanita itu pada mulanya mendakwa anak perempuannya tersentuh periuk panas tersebut.

Tetapi, selepas melihat rakaman terbabit, amah itu mengaku dia sengaja menyakiti mangsa supaya boleh pulang ke negaranya.

Susulan itu, polis telah melancarkan siasatan terhadap pembantu rumah terbabit kerana sengaja menyebabkan kecederaan dalam keadaan yang berbahaya. - Agensi