Tangan kosong jadi taruhan cari mangsa tertimbus gempa Colombia

Penduduk setempat turut membantu operasi SAR di lokasi runtuhan di Pereira.
Penduduk setempat turut membantu operasi SAR di lokasi runtuhan di Pereira.
A
A
A

PEREIRA - Pasukan penyelamat bersama sukarelawan berhempas-pulas mengorek runtuhan dengan tangan kosong dan baldi untuk mencari mangsa yang mungkin terselamat selepas gempa 7.4 skala Richter menggegar Colombia dan meragut lebih 130 nyawa pada Isnin.

Gegaran kuat pada kedalaman 103 kilometer di wilayah Choco itu yang melanda beberapa bandar di wilayah pengeluar kopi dan Pasifik turut mencetuskan panik dalam kalangan penduduk dan dipercayai memusnahkan lebih 1,500 struktur.

Bencana dahsyat itu menjadi ujian besar buat Presiden Abelardo de la Espriella yang baru tiga hari menggalas tanggungjawab sebagai pemimpin negara Amerika Selatan tersebut.

Beliau turut mengisytiharkan darurat dan berikrar untuk melaksanakan operasi menyelamat secara menyeluruh setelah hampir 500 mangsa dilaporkan cedera.

Di lokasi paling teruk terjejas di Cali, sukarelawan segera berganding bahu menggunakan cangkul dan peralatan asas untuk mencari mangsa yang tertimbus di bawah runtuhan.

Mereka turut membentuk rantaian manusia untuk mengalihkan batu bata dan serpihan binaan serta berhenti setiap beberapa minit bagi mendengar sebarang isyarat kecemasan daripada mangsa yang masih terperangkap.

Laporan awal menunjukkan beberapa bandar mengalami kemusnahan besar akibat gempa tersebut yang berlaku kurang dua bulan selepas bencana serupa melanda Venezuela dan mengorbankan lebih 6,300 orang serta menyebabkan puluhan ribu penduduk hilang tempat tinggal.

Hospital di lima bandar kini diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga tahap merah manakala perintah berkurung pada waktu malam dikuatkuasakan di Cali. Selain itu, kira-kira enam lapangan terbang tempatan turut menghentikan operasi.

Pihak berkuasa memberi amaran angka korban dijangka meningkat memandangkan pasukan penyelamat masih bertungkus-lumus menjejaki mangsa yang terperangkap di bawah struktur yang menyembah bumi.

Artikel Berkaitan:

Bintang pop terkenal, Shakira turut menyatakan sokongannya kepada rakyat yang terjejas akibat bencana itu.

“Saya titipkan seluruh kekuatan dan kasih sayang buat tanah air tercinta. Marilah kita bersama-sama melalui saat sukar ini,” katanya.

Bagi meringankan beban Bogota, Amerika Syarikat (AS) antara yang terawal memberi respons segera apabila ia mengumumkan pakej bantuan kecemasan bernilai AS$15.5 juta (RM63.4 juta) buat negara itu. - AFP

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!