Puluhan anggota tentera wanita Israel jatuh sakit

Kejadian itu menyebabkan aktiviti latihan di pangkalan berkenaan dihentikan sementara. Foto Roya News
Kejadian itu menyebabkan aktiviti latihan di pangkalan berkenaan dihentikan sementara. Foto Roya News
A
A
A

BAITULMAQDIS – Kira-kira 30 anggota dan rekrut wanita tentera Israel di pangkalan Sde Boker, selatan Israel, dilaporkan jatuh sakit dengan gejala muntah, cirit-birit dan kekejangan perut sejak beberapa hari lalu.

Laporan media berbahasa Ibrani yang dipetik media tempatan menyatakan kejadian itu menyebabkan aktiviti latihan di pangkalan berkenaan dihentikan sementara pada Isnin.

Anggota tentera dan komander yang mengalami gejala berkenaan menjalani pemeriksaan perubatan di pangkalan tersebut.

Pemeriksaan itu perlu diselesaikan sebelum aktiviti latihan dapat disambung semula.

Sebuah bas mini yang membawa sebahagian anggota dengan gejala sama turut meninggalkan pangkalan berkenaan untuk mendapatkan rawatan di sebuah klinik berhampiran.

Pangkalan Sde Boker lazimnya menempatkan peserta program Gadna, iaitu latihan selama seminggu yang memberi pendedahan kepada golongan muda mengenai kehidupan ketenteraan.

Pangkalan berkenaan turut digunakan untuk menempatkan beberapa kursus latihan yang biasanya dijalankan di pangkalan Tentera Udara Israel di Ovda susulan kekangan operasi di lokasi itu sejak beberapa bulan lalu.

Seorang rekrut Tentera Udara yang berada di pangkalan berkenaan sejak beberapa minggu lalu mendakwa keadaan dapur di situ tidak bersih dan dipenuhi serangga.

"Dapur di sini kotor dan dipenuhi serangga serta lipas. Hanya menunggu masa sebelum perkara ini berlaku," katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, tentera Israel menafikan beberapa dakwaan berkaitan pengurusan makanan di pangkalan tersebut.

Dalam satu kenyataan, pihak tentera berkata, sejak beberapa hari lalu sejumlah anggota di pangkalan Sde Boker mendapatkan rawatan selepas mengalami masalah kesihatan.

"Semua anggota yang melaporkan gejala menerima rawatan perubatan awal di pangkalan," menurut kenyataan itu.

Tentera Israel turut menafikan dakwaan bahawa rekrut dilarang memasuki dewan makan.

Menurutnya, semua anggota terus menerima makanan mengikut keadaan kesihatan masing-masing, manakala mereka yang mengadu masalah kesihatan diberikan penjagaan bersesuaian.

Siasatan kini dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian berkenaan.-Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!