Pegawai tentera Thailand mengamuk dalam penerbangan KL-Bangkok

Dua kru kabin lelaki menahan seorang lelaki yang kemudiannya disahkan sebagai seorang leftenan dalam Tentera Diraja Thailand dan mempunyai masalah kesihatan mental. – Foto: Tangkap layar halaman Social Hunter 2022.
Dua kru kabin lelaki menahan seorang lelaki yang kemudiannya disahkan sebagai seorang leftenan dalam Tentera Diraja Thailand dan mempunyai masalah kesihatan mental. – Foto: Tangkap layar halaman Social Hunter 2022.
A
A
A

BANGKOK – Penumpang sebuah penerbangan dari Malaysia ke Bangkok berdepan detik cemas apabila seorang lelaki Thailand mengamuk di tengah perjalanan dan dilaporkan cuba membuka pintu pesawat.

Lelaki berkenaan kemudian disahkan sebagai pegawai berpangkat leftenan dalam Tentera Diraja Thailand yang sedang menerima rawatan bagi masalah kesihatan mental,menurut laporan Bangkok Post.

Rakaman kejadian yang diambil seorang penumpang dalam penerbangan menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Don Mueang itu tular di media sosial pada Ahad.

Bagaimanapun, nama syarikat penerbangan dan nombor penerbangan terbabit tidak didedahkan.

Rakaman menunjukkan lelaki berbaju putih itu mundar-mandir di lorong pesawat sambil berulang kali menjerit perkataan 'landing' atau mendarat dalam bahasa Inggeris.

Pada satu ketika, dia turut kedengaran bercakap dalam bahasa Thai secara tidak jelas.

Menurut laporan, lelaki itu juga cuba membuka pintu pesawat ketika kejadian.

Dua kru kabin lelaki kemudian bergelut untuk menahannya sebelum berjaya mendudukkan dan mengawal lelaki terbabit di sebuah tempat duduk.

Dia bagaimanapun terus menjerit dan sesekali mengeluarkan kata-kata kesat.

Artikel Berkaitan:

Kementerian Pertahanan Thailand pada Isnin mengesahkan lelaki tersebut bertugas di Pejabat Dasar dan Perancangan kementerian berkenaan.

Menurut kementerian, pegawai itu sedang menjalani rawatan bagi masalah kesihatan mental dan mengalami episod berulang ketika berada dalam penerbangan tersebut.

Selepas pesawat selamat mendarat, dia segera dibawa ke Hospital Phramongkutklao di Bangkok untuk menerima rawatan lanjut.-Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!