KXP terima usaha sama baharu: Sanusi harap MOT segerakan kelulusan

Ilustrasi projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) yang diubah konsep dan dijenamakan kepada Kedah Aerotropolis. (Gambar kecil: Muhammad Sanusi)
Ilustrasi projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) yang diubah konsep dan dijenamakan kepada Kedah Aerotropolis. (Gambar kecil: Muhammad Sanusi)
A
A
A

ALOR SETAR - Beberapa usaha sama baharu akan ditandatangani bersama syarikat luar negara yang berminat membuka cawangan di Kedah Aerotropolis.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, majlis menandatangani kerjasama (MoU) bersama syarikat kargo antarabangsa, FedEx dan Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing akan dimeterai dalam tempoh terdekat.

Menurutnya, diharap dengan termeterainya dua lagi MoU tersebut akan meyakinkan Kementerian Pengangkutan (MOT) untuk menyegerakan proses kelulusan pembinaan landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP).

“Sebuah syarikat kargo antarabangsa (FedEx) sudah nyatakan hasrat mahu beroperasi di Kedah Aerotropolis cuma belum tandatangani kerjasama.

“Selepas itu, Tahira Air Sdn Bhd bersama delegasi Kumpulan Lapangan Terbang Henan (HNAG) akan tandatangani kerjasama (MoU) dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing, yang menguruskan empat juta tan kargo setahun,” katanya ketika dihubungi di sini, pada Jumaat.

Muhammad Sanusi (tiga dari kiri) menerima kunjungan delegasi Kumpulan Lapangan Terbang Henan (HNAG) dari China di Wisma Darul Aman, pada Ahad.
Muhammad Sanusi (tiga dari kiri) menerima kunjungan delegasi Kumpulan Lapangan Terbang Henan (HNAG) dari China di Wisma Darul Aman, pada Ahad.

Pada Ahad, Muhammad Sanusi menerima kunjungan delegasi Kumpulan Lapangan Terbang Henan (HNAG) dari China, yang akan menjadi rakan strategik KXP AirportCity Holdings Sdn Bhd (KXP AirportCity) di China, setelah projek itu siap dilaksanakan kelak.

Delegasi syarikat milik kerajaan Wilayah Henan itu diketuai oleh Pengarah Pembangunan Perusahaan HNAG, Jia Xinming.

Artikel Berkaitan:

Dalam pertemuan lebih sejam itu, kedua-dua pihak membincangkan pelbagai perkara bagi memantapkan kerjasama ke arah merealisasikan projek KXP sebagai salah satu komponen Kedah Aerotropolis yang akan dibangunkan di Sidam Kiri, Kuala Muda.

Kunjungan delegasi HNAG ke Alor Setar adalah sebagai balasan lawatan Kerajaan Kedah dan KXP AirportCity ke China pada penghujung tahun lalu bagi merangka kerjasama dua pihak.

Muhammad Sanusi berkata, sementara menunggu kelulusan MOT yang masih lagi tertangguh, usaha merealisasikan projek KXP tetap diteruskan oleh kerajaan negeri menerusi KXP AirportCity.

KXP AirportCity merupakan syarikat milik penuh Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) menandatangani perjanjian usaha sama dengan Tahira Air Sdn Bhd menubuhkan sebuah syarikat bertujuan khas (SPV) bagi membangunkan Kedah Aerotropolis, dikenali sebagai Kedah Aerotropolis Holdings.

Kedah Aerotropolis telah diberikan kelulusan bagi membangunkan tiga komponen dalam fasa pertama, iaitu Pusat Penyelenggaraan, Pembaikan dan Baik pulih (MRO), Sidam Logistics, Aerospace dan Manufacturing Hub (SLAM) selain taman perindustrian dan perniagaan.

Sementara pembinaan untuk Airport City atau terminal lapangan terbang masih dalam pengurusan membabitkan aspek teknikal.

“Saya percaya dengan usaha berterusan kita, semua itu akan menjadi bukti dalam meyakinkan MOT meluluskan pembinaan KXP yang merupakan antara komponen Kedah Aerotropolis.

“Untuk pembangunan selain Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).dan landasan, sudah boleh dilaksanakan cuma kita perlu tunggu kelulusan MOT juga kerana CAAM merupakan agensi bawah MOT.

“Sementara SLAM bawah Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) akan dapat dimulakan sebaik sahaja MOT berikan kelulusan tersebut,” ujarnya.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi yang juga Pengerusi KXP AirportCity yakin pembangunan Kedah Aerotropolis akan lancar seperti perancangan berikutan memiliki rakan strategi yang kukuh.

“HNAG merupakan operator lapangan terbang kargo milik mereka sendiri di Henan. Mereka mahu membuka cawangan di KXP.

“Operasi syarikat tersebut meluas, memfokus penghantaran kargo bermula dari Luxembourg, Memphis dan negara Eropah diedarkan ke seluruh China. Perniagaan mereka berkembang sehingga negara Asean dan Asia Pasifik.

“Kerjasama ini akan menjadikan KXP sebagai hub penghantaran dan pemindahan kargo ke seluruh Asean,” jelasnya.

Menurutnya lagi, Lapangan Terbang Antarabangsa Henan menguruskan sejuta tan kargo setahun dan operasi syarikat itu terus berkembang dari semasa ke semasa.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!