564 projek pembangunan bernilai RM3.41 bilion dilaksana di Selangor tahun ini

Selangor telah mencapai prestasi perbelanjaan sebanyak 8.39 peratus, dan ia melepasi prestasi nasional iaitu 6.03 peratus. - Gambar hiasan 123RF
Selangor telah mencapai prestasi perbelanjaan sebanyak 8.39 peratus, dan ia melepasi prestasi nasional iaitu 6.03 peratus. - Gambar hiasan 123RF
A
A
A

SEBANYAK 564 projek dan program pembangunan yang seimbang serta lestari akan dilaksanakan di Selangor di bawah Rolling Plan ke-4 (RP4) Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM3.41 bilion pada tahun ini.

Pejabat Pembangunan Negeri Selangor, Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri dalam kenyataan memaklumkan daripada jumlah itu 463 merupakan projek baharu, manakala bakinya sebanyak 101 adalah projek sambungan.

Menurut kenyataan itu RP4 Negeri Selangor juga menumpukan kepada pembangunan 471 projek fizikal (RM2.25 bilion atau 65.8 peratus) melibatkan skop projek utama yang mencakupi kelengkapan, peralatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan bukan ICT, pembelian bangunan, pembinaan, pengurusan fasiliti, penyenggaraan, perolehan tanah serta penyelidikan.

"Manakala 93 butiran (RM1.17 bilion atau 34.2 peratus) pula merupakan projek bukan fizikal yang diluluskan bagi pembiayaan dana, program ICT, kajian dan program latihan,” menurut kenyataan itu.

Perkara tersebut dimaklumkan susulan Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNG) Selangor yang dipengerusikan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari hari ini dan dihadiri semua ketua jabatan di peringkat Persekutuan dan negeri.

Kenyataan itu memaklumkan setakat 13 Februari lepas, Selangor telah mencapai prestasi perbelanjaan sebanyak 8.39 peratus, dan ia melepasi prestasi nasional iaitu 6.03 peratus.

Menurut kenyataan itu projek yang dijangka siap tahun ini antaranya pembinaan Pusat Kebangsaan bagi Keselamatan Makanan (NCFS) di Sepang, projek naik taraf Hospital Kajang, Kem Wawasan Negara Tanjung Rhu di Sepang serta pembinaan sekolah baharu 24 bilik darjah dan lain-lain kemudahan Sekolah Kebangsaan (SK) Saujana Putra, Telok Datok, Kuala Langat.

Kenyataan itu memaklumkan hasrat utama mesyuarat tersebut juga adalah bagi mengukuhkan pemantauan pelaksanaan projek pembangunan Persekutuan di Selangor mengikut garis masa yang ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, antara perkara yang turut diteliti adalah prestasi RP3 RMK12 Selangor yang merekodkan 99.65 peratus atau sejumlah RM6.78 bilion telah dibelanjakan daripada RM6.81 bilion peruntukan bagi tahun lepas.

Perbelanjaan tersebut melibatkan 179 projek/program atau 31.1 peratus berjaya disiap dan dilaksanakan antaranya projek naik taraf unit rawatan rapi (ICU) Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang dan pembinaan sekolah secara sistem binaan berindustri (IBS) bagi SK Ulu Yam Lama, Batang Kali.

Selain itu, turut disiapkan adalah projek mengganti dan melebarkan jambatan di atas Sungai Batang Kali Hulu Selangor serta pembinaan sekolah baharu 42 bilik darjah dan lain-lain kemudahan di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Saujana Utama (2), Kuala Selangor.

Selangor juga berjaya merealisasikan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menambah baik keperluan pelajar dalam melaksanakan projek naik taraf dan penyelenggaraan kecil di 753 sekolah bawah Kementerian Pendidikan membabitkan peruntukan RM52.71 juta yang kesemuanya berjaya disiapkan sepenuhnya pada November lepas. - Bernama