Pemandu bas ekspres dikesan guna telefon bimbit ketika memandu

Stien (kiri) menyoal seorang penungang motosikal yang diperiksa di hadapan pejabat JPJ Sungai Petani pada malam Khamis.
Stien (kiri) menyoal seorang penungang motosikal yang diperiksa di hadapan pejabat JPJ Sungai Petani pada malam Khamis.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Seorang pemandu bas ekspres dikenakan kompaun apabila dikesan melakukan kesalahan ketika memandu termasuklah menggunakan telefon bimbit hingga dikhuatiri membahayakan keselamatan penumpang dalam Ops Hari Raya Aidiladha (HRAA) 2024.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah, Stien Van Lutam berkata, pemandu bas ekspres berusia 61 tahun itu dikesan melakukan kesalahan tersebut di lampu isyarat Taman Wira di Mergong, Alor Setar melalui penyamaran anggota JPJ Kedah bersempena Ops HRAA bermula 10 Jun hingga Khamis.

Beliau berkata, lelaki terbabit dikesan menggunakan telefon bimbitnya pada jam 8.45 pagi ketika dalam perjalanan membawa penumpang dari Alor Setar ke Kuala Lumpur.

"Pemandu bas ekspres itu kemudiannya dikesan melakukan kesalahan kedua kerana mengambil barang dan penumpang di tempat larangan pada jam 9.06 pagi di Kilometer 43.6 Lebuhraya Utara Selatan (Plus) arah selatan.

"Tindakan lelaki itu dikhuatiri mengundang bahaya kerana dia membawa 30 penumpang ketika itu. Dia diberikan dua kompaun atas kesalahan tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Ops HRAA 2024 di hadapan pejabat JPJ Sungai Petani di sini pada malam Khamis.

Stien memaklumkan, pemandu bas ekspres itu dikenakan kompaun RM300 bagi kesalahan pertama dan RM150 bagi kesalahan kedua.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, tiga operasi akan dilaksana dalam tempoh 10 hingga 30 Jun 2024 bersempena Ops HRAA membabitkan kenderaan komersial, motosikal dan kenderaan persendirian.

Artikel Berkaitan:

"Hasil operasi bermula sejak Isnin hingga ke hari ini (Khamis), JPJ Kedah telah memeriksa sebanyak 8,277 kenderaan dengan 2,627 notis saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan, manakala 74 kenderaan disita.

"Motosikal masih lagi mencatatkan kesalahan tertinggi sepanjang tempoh itu," katanya.

Stien menambah, pihaknya akan terus memantau 37 kawasan hotspot kemalangan di 10 daerah di seluruh Kedah dalam tempoh sambutan Hari Raya Aidiladha.

Beliau memaklumkan, daerah Kota Setar, Kulim dan Kuala Muda merekodkan lokasi hotspot terbanyak di negeri ini.

Sebelum itu, JPJ Kedah turut mengedarkan topi keledar percuma mempunyai piawaian Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) kepada penunggang motosikal.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!