'Wasiat' Rasulullah SAW ketika haji wada’

GELARAN haji atau hajah selepas menunaikan Rukun Islam kelima bukan untuk dibanggakan, sebaliknya ia tanda peringatan kepada manusia supaya sentiasa menjaga kemuliaan Islam dan tidak mencemarkan adab serta kesopanan. -Foto: Canva
GELARAN haji atau hajah selepas menunaikan Rukun Islam kelima bukan untuk dibanggakan, sebaliknya ia tanda peringatan kepada manusia supaya sentiasa menjaga kemuliaan Islam dan tidak mencemarkan adab serta kesopanan. -Foto: Canva
A
A
A

APABILA tiba musim haji, antara kisah yang begitu memberi impak kepada umat Islam ialah peristiwa haji wada’ atau haji perpisahan.

Ini kerana ia merupakan haji pertama dan terakhir Rasulullah SAW pada bulan Zulhijah tahun 10 Hijrah sebelum Baginda wafat beberapa bulan kemudian.

Menyingkap kembali sirah itu, Pengarah Pusat Islam Universiti Teknologi Malaysia, Prof Madya Dr Ahmad Che Yaacob menjelaskan, Nabi Muhammad SAW memberikan khutbah di Arafah yang sarat dengan ‘wasiat’.

Ia termasuklah nasihat tentang kemuliaan orang Islam, harta dan hitungan amalan, riba dan godaan syaitan, memelihara hak suami isteri, layanan kepada isteri, melaksanakan ibadah dan Rukun Islam, kelebihan bertakwa dan balasan akhirat.

DR AHMAD
DR AHMAD

“Selain itu, Rasulullah SAW juga mengingatkan bahawa Bagindalah rasul dan nabi terakhir serta menyampaikan perintah supaya berdakwah kepada orang lain dan sifat rasul iaitu tabligh (menyampaikan).

“Khutbah itu disampaikan saat Rasulullah SAW dapat merasakan bahawa usianya sudah tidak lama. Bahkah, khutbah inilah yang benar-benar ditekankan oleh Baginda untuk didengari oleh umatnya bersungguh-sungguh dan disampaikan hingga berakhirnya usia bumi ini,” katanya kepada Sinar Islam Plus baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

Dalam haji wada’ yang diriwayatkan dihadiri lebih 100,000 jemaah itu, Ahmad menjelaskan, terdapat beberapa inti pati penting boleh dijadikan pedoman.

Jika diteliti satu persatu, katanya, hampir semua kandungan khutbah wada’ itu berkait hubungan sesama manusia.

HAYATI sebenar-benarnya 'wasiat' Rasulullah SAW dalam haji wada' untuk kita sematkan sepanjang hayat kita di dunia hingga hari kiamat kelak. -Foto: Canva
HAYATI sebenar-benarnya 'wasiat' Rasulullah SAW dalam haji wada' untuk kita sematkan sepanjang hayat kita di dunia hingga hari kiamat kelak. -Foto: Canva

Antaranya termasuklah tentang hak asasi manusia iaitu kesucian darah setiap individu yang tidak patut ditumpahkan secara sia-sia.

“Setiap insan harus bersama menjaga kesucian itu dan menghindari diri daripada berkata buruk, apatah lagi menunjukkan akhlak tidak baik ketika berada di Tanah Suci seperti merempuh, bergaduh dan tolak-menolak ketika melaksanakan ibadah haji serta umrah.

“Khutbah ini turut menerangkan tentang kesucian harta milik seseorang yang sepatutnya tidak diganggu atau diambil oleh individu lain tanpa persetujuan pemiliknya, selain melarang keras perbuatan riba,” katanya.

Tidak kurang pentingnya adalah penjagaan hak wanita dalam hubungan suami isteri dan masyarakat, ungkapnya.

“Wanita berhak ke atas suaminya untuk menerima nafkah zahir dan batin termasuk tempat berlindung, pakaian dan hubungan intim suami isteri.

PENJAGAAN hak wanita dalam hubungan suami isteri dan masyarakat antara inti pati ditekankan dalam khutbah yang disampaikan oleh Nabi Muhammad SAW ketika haji wada'. -Gambar hiasan/ Foto: 123rf
PENJAGAAN hak wanita dalam hubungan suami isteri dan masyarakat antara inti pati ditekankan dalam khutbah yang disampaikan oleh Nabi Muhammad SAW ketika haji wada'. -Gambar hiasan/ Foto: 123rf

“Kaum Hawa juga tidak boleh dijadikan hamba dan ditindas dalam institusi kemasyarakatan,” terangnya panjang lebar.

Gelaran bukan untuk dibanggakan

Pun demikian, dunia akhir zaman kini begitu menguji. Apabila nasihat diberikan, tiada sesiapa mahu mengendahkannya. Jika dibiarkan pula, ramai yang mengkritik.

Mengulas tentang perkara itu, Ahmad menjelaskan, Islam begitu mementingkan umatnya supaya saling menasihati antara satu sama lain dalam perkara kebaikan dan kebenaran serta melarang daripada melakukan perbuatan menyalahi syariat.

“Benar, ada banyak sebab orang enggan menerima nasihat. Antaranya ego atau merasakan dirinya mempunyai kelebihan, tidak mahu dilihat sebagai lemah dan tidak kompeten serta berpunca daripada pengaruh rakan serta pandangan masyarakat.

“Boleh jadi juga mereka enggan menerima teguran disebabkan sikap sendiri iaitu disebabkan kebiasaan lama yang telah menjadi tabiat,” katanya sambil mengingatkan agar kita kembali kepada ajaran Islam sebagaimana ‘wasiat’ Rasulullah SAW.

Dalam pada itu, Ahmad turut mengingatkan bahawa gelaran haji dan hajah yang diberikan selepas seseorang menunaikan Rukun Islam kelima itu bukanlah untuk dibanggakan.

Ketahuilah bahawa gelaran sebegitu sebenarnya bertujuan untuk memberikan peringatan supaya seseorang itu sentiasa menjaga kemuliaan Islam dan tidak mencemarkan adab serta kesopanan.

“Oleh itu, amatlah memalukan apabila seseorang yang bergelar haji dan hajah terlibat dalam perbuatan maksiat,” ungkapnya.

Mengertilah, walaupun seseorang sudah menyempurnakan kelima-lima Rukun Islamnya, tetapi ia bukanlah menjadi tiket untuk seseorang itu ‘berpencen’ atau tidak lagi melakukan amal.

Sebaliknya, ahli akademik itu menegaskan, mereka yang telah mengerjakan haji ibarat seperti orang yang sudah lulus ujian memandu dan diberikan lesen untuk membawa kenderaan.

“Mereka tetap dikehendaki untuk mematuhi peraturan jalan raya dan jika gagal dan didapati bersalah akan dikenakan denda.

“Begitulah juga perjalanan kehidupan yang masih jauh yang mesti dilalui dengan mematuhi segala hukum syariat yang telah ditetapkan ALLAH SWT,” katanya.

ANEKDOT

Pengajaran dari Arafah

SETIAP insan harus bersama menjaga kesucian itu dan menghindari diri daripada berkata buruk dan menunjukkan akhlak tidak baik ketika berada di Tanah Suci seperti merempuh, bergaduh dan tolak-menolak ketika melaksanakan ibadah haji serta umrah. -Foto: Canva
SETIAP insan harus bersama menjaga kesucian itu dan menghindari diri daripada berkata buruk dan menunjukkan akhlak tidak baik ketika berada di Tanah Suci seperti merempuh, bergaduh dan tolak-menolak ketika melaksanakan ibadah haji serta umrah. -Foto: Canva

- Wukuf di Arafah merupakan antara rukun haji yang wajib dilakukan.

- Jemaah yang tidak melakukan wukuf berkenaan bererti tidak mengerjakan haji.

- Nabi Muhammad SAW bersabda: “Sebaik-baik doa ialah doa hari Arafah dan sebaik-baik perkataan yang aku dan nabi-nabi sebelumku katakan adalah: Tiada tuhan yang berhak disembah melainkan ALLAH YANG MAHA ESA, tiada sekutu untuknya, bagi-NYA pemilikan (seluruh alam), bagi-NYA segala pujian dan DIA Berkuasa di atas segala sesuatu.” (Hadis Riwayat At-Tirmizi)

- Menerusi kisah khutbah Hujjatul Wada' (haji wada'), Arafah mengajar kita untuk mengenali diri sendiri dan berusaha untuk memperbaiki kelemahan diri.

- Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna lagi.

- Haji mabrur adalah kemuncak ibadah supaya manusia sentiasa mengutamakan untuk berbuat kebaikan.

- Matlamat akhir kehidupan adalah untuk mendapatkan kebahagian di akhirat.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!