Menuju kesempurnaan wuquf di Arafah

Wuquf di Arafah adalah kunci untuk menjalankan ibadah haji dengan sempurna.
Wuquf di Arafah adalah kunci untuk menjalankan ibadah haji dengan sempurna.
A
A
A

Dalam perjalanan spiritual seorang Muslim, terdapat momen yang dianggap sangat penting dan berharga, seperti saat berada di Arafah.

Wuquf di Arafah adalah kunci untuk menjalankan ibadah haji dengan sempurna. Oleh karena itu, sebagai jemaah haji, penting untuk berusaha mencapai kesempurnaan dalam wuquf.

Ini kerana, kegagalan jemaah haji berwuquf di Arafah akan menyebabkan hajinya luput, tidak mungkin untuknya meneruskan kerja-kerja haji yang lain.

Bayangkan bertapa ruginya jika seseorang jemaah haji menyimpan wang sekian lama sehingga cukup istito’ah, namun apabila mendapat peluang mengerjakan ibadah haji, ia berakhir dengan situasi luput haji, pastinya perasaan itu cukup mengecewakan, rasa ralat jadinya.

Kepentingan wuquf ini ditegaskan oleh Rasulullah SAW dalam sabdanya yang bermaksud;

“Haji itu adalah Arafah” (Hadis Riwayat at-Tirmizi).

Hadis di atas menegaskan bahawa berwuquf di Arafah adalah asas kepada kepada ibadah haji walaupun sekadar sedetik sahaja.

Justeru, bagi seorang jemaah haji, adalah menjadi satu kewajipan untuk melakukan wuquf dengan sempurna khususnya bagi mereka yang menunaikan rukun Islam itu bagi tahun 1445 Hijrah.

Artikel Berkaitan:

No Image Caption

Terdapat lima perkara atau ‘tips’ daripada Ahli Jawatankuasa Penasihat Ibadah Haji TH-JAKIM, Dr Shamsiah Mohamad, yang boleh dijadikan panduan kepada para jemaah haji bagi membantu memperoleh kesempurnaan wuquf sekali gus melengkapkan empat lagi rukun haji yang lain iaitu;

1. Niatkan hanya kerana ALLAH.

Rasulullah SAW berpesan supaya sentiasa ikhlas kerana Allah SWT, sebagaimana dalam sabdanya yang bermaksud: “Sesungguhnya setiap amalan berdasarkan niat dan sesungguhnya setiap orang akan mengikut apa yang diniatkan” (Hadis Riwayat Muslim).

Hadis ini mengingatkan kita bahawa apa jua amalan kita adalah mengikut niat kita. Jika keduniaan yang kita cari, maka dunialah kita dapat. Tetapi jika akhirat yang dicari, tentu sekali semua amalan kebaikan kita semasa wuquf di Arafah adalah semata-mata kerana ALLAH.

2. Fokus dan aturkan amal kebaikan kendiri dalam tempoh berwuquf.

Apabila tiba masa untuk wuquf iaitu bermula daripada waktu Zohor 9 Zulhijjah sehingga masuk waktu Subuh pada 10 Zulhijjah, tinggalkan segala urusan duniawi yang tidak penting dan tidak utama seperti menyibukkan diri dengan berswafoto, merakam video setiap amalan yang kita buat, menyibukkan diri dengan media sosial.

Sebaliknya, jemaah haji lebih banyak mengingati ALLAH SWT. Elakkan daripada memikirkan soal lain seperti merungut tentang keadaan yang dialami di Arafah seperti kesesakan di dalam khemah, bilik air dan sebagainya.

3. Tanamkan azam, buang sifat mazmumah dalam diri.

Pembersihan diri daripada sifat mazmumah (keji) sangat penting seperti sifat dengki, ujub (bangga diri), takabbur (sombong), riya’ (suka menunjuk-nunjuk ketika membuat amal kebaikan) dan lain-lain lagi agar amalan dan doa kita di Arafah dimakbulkan ALLAH.

4. Mendidik menyayangi diri sendiri dan juga orang lain

Ketika di Arafah, kita bukanlah hidup berseorangan. Jika kita hendak membuat amal kebaikan, ajaklah jemaah lain juga.

Contoh yang paling mudah, kita ajak sahabat sebilik dan semaktab dengan kita untuk sama-sama solat berjemaah setiap kali solat lima waktu.

5. Menjaga kesihatan diri

Setiap jemaah haji perlu pastikan mengambil makanan yang berkhasiat, banyakkan buah-buahan dan sayur-sayuran.

Pada masa sama, mereka perlu memastikan meminum air secukupnya di samping mengelakkan daripada melakukan aktiviti fizikal yang tidak perlu terutama di tempat-tempat yang terdedah kepada suhu panas dan terik matahari.

Dengan mengikuti panduan di atas dan berusaha semaksimum mungkin, diharapkan setiap jemaah haji dapat mencapai kesempurnaan wuquf di Arafah.

Semoga ibadah haji kita diterima oleh ALLAH SWT dan kita semua menjadi manusia yang lebih baik setelah kembali dari tanah suci.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!