25 peratus majikan di Kelantan gagal jaga kebajikan pekerja - PERKESO

Nora Yaacob
Nora Yaacob
A
A
A

BACHOK - Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) mengesan kira-kira 25 peratus majikan di negeri ini gagal menjaga kebajikan pekerja apabila tidak mencarum dengan agensi berkenaan.

Pengarahnya, Nora Yaacob berkata, jumlah tersebut diperolehi hasil daripada enam kali kerja-kerja pemutihan dilakukan oleh PERKESO dalam mengesan majikan yang culas berbuat demikian.

"Antara alasan yang diberikan mereka ialah buang masa, tiada masa, serta ia tidak penting.

"Dari Januari hingga sekarang sebanyak 15 majikan telah didakwa manakala 67 dikompaun," katanya semasa mengadakan kunjungan ke rumah guru agama yang maut, Nur Ain Fitriah Zakaria di Kampung Lubuk Tembusu, Kubang Telaga di sini, pada Khamis.

Sebelum itu Nora telah menyampaikan Faedah Pengurusan Mayat berjumlah RM3,000, Faedah Orang Tanggungan melibatkan bayaran bulanan berjumlah RM1,040 serta kotak prihatin.

Menurut beliau, pada tahun 2023 pula 48 majikan didakwa dan 20 kompaun dikenakan di atas sikap tidak bertanggungjawab itu.

Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu, PERKESO telah melanjutkan bulan pemutihan dari 1 hingga 30 Jun ini.

Ujarnya, sepanjang tempoh ini majikan yang mendaftar akan dikecualikan daripada tindakan pengkompaunan, pendakwaan dan Faedah Caruman Lewat Bayar (FCLB).

Artikel Berkaitan:

"Kami merayu kepada semua majikan supaya berbuat demikian dengan segera.

"Sekiranya majikan gagal berbuat demikian dalam tempoh pemutihan ini, PERKESO tidak akan berkompromi dengan ketidakpatuhan majikan dan tiada pengecualian daripada tindakan penguatkuasaan," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, majikan diberi tempoh sehingga 31 Mei ini untuk mendaftar dan mencarum pekerja mereka secara sukarela dengan PERKESO.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, tempoh yang diberikan sempena Bulan Pemutihan ke-15 sebelum pihaknya mengambil tindakan kompaun, pendakwaan dan FCLB.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!