X

Kindly register in order to view this article
!

Pahang bakal majukan projek tanaman nanas MD2

Wan Rosdy (lima dari kiri) yakin projek penanaman nanas berjaya membuka peluang pekerjaan kepada rakyat selepas termeterai perjanjian persefahaman dengan syarikat Greenworld Plantation di Wisma Seri Pahang. - Foto Ihsan PAHANG MEDIA
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang bakal memajukan projek tanaman nanas jenis MD2 di atas tanah seluas 100.7 hektar di Pekoti Timur, Keratong, Rompin.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, projek penanaman dianggarkan berjumlah RM30 juta itu merupakan kerjasama antara Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang dan Greenworld Plantation Sdn Bhd.

Menurutnya, kerjasama itu juga dapat membuka peluang pekerjaan kepada penduduk setempat dan warga Pahang.

"Kita telah menandatangani perjanjian bagi projek tersebut dan menjangkakan kira-kira 85 hingga 100 peluang pekerjaan dapat diwujudkan.

"Projek itu melibatkan kerjasama strategik bersama UMP Technology Sdn Bhd (UMPT) iaitu sebuah anak syarikat UMP Holdings Sdn Bhd bagi menjalankan aktiviti perundingan dan pengkomersialan teknologi berkaitan pembangunan kawasan menggunakan teknologi moden," katanya menerusi laman Facebook beliau.

Jelasnya, majlis menandatangani perjanjian itu dilaksanakan dalam tempoh lima bulan selepas memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani di Singapura pada 2 Ogos tahun lalu.

Dalam majlis tersebut, Wan Rosdy Wan Ismail hadir menyaksikan perjanjian yang ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang, Datuk Suhaimi Mohd Yunus dan Pengarah Greenworld Plantation Sdn Bhd, Wesley Tan Seah Ging.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Sallehuddin Ishak; Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi Pahang, Datuk Seri Ir Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Fadzilla Salleh.

Wan Rosdy berkata, bagi projek penanaman nanas ini, perjanjian telah dimeterai antara kerajaan Pahang bersama syarikat Ananas Republic Pte Ltd bersempena forum berkenaan di Grand Hyatt, Singapura.

Dalam pada itu, Wan Rosdy berkata, sebelum ini kerajaan Pahang berjaya menarik pelaburan berjumlah kira-kira RM1.134 bilion melalui Forum Pelaburan Pahang 2019 di Singapura pada 1 dan 2 Ogos tahun lalu.

Katanya, enam lagi perjanjian akan dimuktamadkan dan ditandatangani bulan depan dan dua lagi dijadualkan pada Mac tahun ini.

"Tiga lagi cadangan projek sedang dalam proses rundingan terma dan syarat dengan pihak pelabur," katanya.