Rakyat Malaysia wajiblah tahu sejarah negara!

No Image Caption
A
A
A

PADA Rabu minggu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meluncurkan Modul Latihan Kenegaraan Malaysia Madani yang bertujuan untuk memberi peluang kepada golongan muda mengenali sejarah negara.

Akhbar ini berpendapat ia merupakan langkah yang tepat, wajar dilakukan segera dan perlu dilakukan secara lebih meluas dan serius.

Pelbagai kempen-kempen lebih giat perlu dilipatgandakan.

Jangan sekadar meluncur namun akhirnya hilang di pertengahan jalan. Ia harus terus tepat pada sasaran dan capai pada matlamat.

Hal ini kerana mengenali sejarah bermaksud mengenali asal usul diri, mengenali pemimpin dan mengimbas kembali kesukaran yang dilalui untuk mencapai kemerdekaan.

Dengan cara ini diharapkan dapat menerbitkan rasa insaf di hati generasi kini dan berterima kasih kepada para pejuang yang telah berkorban dahulu.

Sekali gus juga mencambahkan rasa cinta kepada negara dengan sepenuh hati.

Mengambil contoh, lihat sahajalah baru-baru ini tular sebuah video yang menunjukkan seorang pemandu rakyat Malaysia, sudah agak berusia namun tidak mencintai negaranya sendiri.

Artikel Berkaitan:

Sedih melihat video tersebut yang dikongsi di pelbagai platform laman media sosial.

Tergamak dia memburukkan tempat dia dilahirkan, dibesarkan dan mencari rezeki kepada pelancong luar negara yang baru berkunjung ke negara kita.

Lebih sedih lagi memuji negara jiran yang baginya seperti syurga dunia.

Ini hanyalah antara sebahagian contoh orang-orang yang sudah lupa tentang sejarah dan asal usulnya.

Jangan salah faham, kita tidak bercakap tentang isu bangsa di sini kerana kita semua sememangnya anak Malaysia.

Kita tidak mahu lebih ramai rakyat Malaysia yang mengambil mudah tentang sejarah penubuhan Malaysia dahulu sehingga Malaysia maju dan harmoni seperti hari ini.

Lagipun, jika dah namanya rakyat Malaysia maka wajiblah tahu sejarah negara! Jika tidak tahu, ya inilah masanya untuk kita sama-sama belajar dan menghayatinya kembali.

Selain itu, diharapkan dengan mengenali sejarah dapat menaikkan kembali semangat juang anak-anak muda supaya lebih membara. Bukan orang tua sahaja.

Oleh itu, penubuhan Akademi Kenegaraan Malaysia yang diasaskan diharapkan dapat membentuk golongan muda yang bukan sahaja bercita-cita tinggi, malah jiwanya mencintai negaranya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!