'Patut kerja di tapak pembinaan, bukan jaga orang tua'

Anggota Imigresen memeriksa pekerja warga asing di pusat jagaan orang tua di Jalan Free School dalam serbuan yang dilakukan pagi semalam.
Anggota Imigresen memeriksa pekerja warga asing di pusat jagaan orang tua di Jalan Free School dalam serbuan yang dilakukan pagi semalam.
A
A
A

GEORGETOWN - Sepatutnya mereka bekerja dalam sektor pembinaan namun sekumpulan warga asing mendakwa mereka diminta oleh ejen untuk bekerja di sebuah rumah kebajikan sebagai penjaga orang tua.

Perbuatan mereka yang menyalahi peraturan dan undang-undang negara itu terbongkar selepas rumah jagaan orang tua di Jalan Free School diserbu sepasukan penguat kuasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pulau Pinang dalam Op Bersepadu, pagi semalam.

Pengarah JIM Pulau Pinang, Muhamad Husni Mahmud berkata, serbuan yang dilakukan jam 9 pagi itu menahan 16 pekerja warga asing yang berkhidmat di rumah jagaan berkenaan selepas didapati menyalahgunakan permit kerja.

Menurutnya, ada di antara mereka yang memberi alasan tidak tahu mengenai kesalahan berkenaan kerana dihantar oleh ejen untuk bekerja di sini malah ada juga yang telah selesa bekerja dengan menjaga warga emas di pusat berkenaan.

"Serbuan dibuat hasil risikan dan maklumat awam mengenai perbuatan pemilik pusat jagaan berkenaan yang menggajikan pekerja warga asing tanpa mengikut peraturan.

“Dalam serbuan itu kami menahan 16 warga asing terdiri daripada dua lelaki warga Nepal, dua wanita Vietnam, dua wanita Kemboja dan 10 wanita Indonesia berusia antara 20 hingga 45 tahun," katanya kepada Sinar Harian.

Antara warga asing yang ditahan di sebuah restoran di Bandar Baru, Ayer Itam semalam.
Antara warga asing yang ditahan di sebuah restoran di Bandar Baru, Ayer Itam semalam.

Sementara itu dalam serbuan berasingan, Muhamad Husni berkata, pihaknya turut menahan seorang lelaki warga India berusia lingkungan 30-an di sebuah restoran nasi kandar di Jalan Kampung Melayu, Ayer Hitam.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, dalam serbuan ketiga pula, pihaknya menahan lima wanita Indonesia di sebuah restoran di Bandar Baru, Ayer Hitam kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

“Dalam tiga serbuan berkenaan, kami memeriksa seramai 31 individu dan daripada jumlah itu, 22 warga asing ditahan kerana didapati tiada permit kerja, salah guna pas dan tinggal lebih masa.

"Kesemua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Imigresen di Seberang Jaya untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002), Seksyen 15(1)(c) akta sama dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.