Pemaju kedua asrama pekerja di Teluk Kumbar diminta tarik semula PKM

Azrul menunjukkan surat yang diserahkan kepada pemaju Tetuan Chong Company Sdn Bhd bagi menyatakan sokongan pembinaan pembangunan lain selain daripada asrama pekerja asing di Teluk Kumbar.
Azrul menunjukkan surat yang diserahkan kepada pemaju Tetuan Chong Company Sdn Bhd bagi menyatakan sokongan pembinaan pembangunan lain selain daripada asrama pekerja asing di Teluk Kumbar.
A
A
A

GEORGE TOWN - [DIKEMAS KINI] Pemaju bagi bangunan asrama pekerja 27 tingkat di atas lot 1859,1860 dan 1865, Tingkat Teluk Kumbar, Mukim 9, Teluk Kumbar iaitu Tetuan Chong Company Sdn Bhd diminta agar menarik semula Permohonan Kebenaran Merancang (PKM) yang telah diluluskan sebelum ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Datuk Azrul Mahathir Aziz berkata, sekiranya pemaju terbabit turut mengambil tindakan sama seperti Tetuan Zantalite Enterprise (M) Sdn Bhd, ia dilihat satu perkara yang amat menggembirakan bagi penduduk di sekitar kawasan berkenan.

Azrul berkata, beliau telah menyerahkan surat bertarikh 6 Mac 2024 kepada pemaju terbabit untuk menyatakan sokongan bagi pembinaan pembangunan lain selain daripada asrama pekerja asing di tiga lot tanah berkenaan antaranya stesen minyak dan pusat perniagaan.

"Saya meminta Tetuan Chong Company Sdn Bhd mengambil langkah harmoni sama seperti Tetuan Zantalite Enterprise (M) Sdn Bhd iaitu menarik balik permohonan kebenaran merancang projek pembinaan asrama pekerja iaitu 27 tingkat melibatkan 512 unit di atas tiga lot berkenaan.

"Selain syarat ketat yang dikenakan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) antaranya pembesaran jalan, projek ini juga mendapat bantahan daripada penduduk setempat.

"Oleh demikian, saya meminta agar pemaju bagi projek asrama pekerja asing ini menarik balik permohonan kebenaran merancang dan membina pembangunan lain yang akan memberi lebih manfaat kepada penduduk setempat," katanya pada sidang akhbar di Bilik Mesyuarat Dewan Undangan Negeri pada Khamis.

Pada Rabu, Exco Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa, H'ng Mooi Lye mengumumkan salah satu pemaju projek pembinaan asrama pekerja warga asing di kawasan Teluk Kumbar telah menarik balik permohonan kebenaran merancang projek berkenaan.

Mooi Lye berkata, pemaju berkenaan iaitu Tetuan Zantalite Enterprise (M) Sdn Bhd telah menarik balik PKM tersebut pada 9 Mei lalu.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Azrul berkata, sekiranya Tetuan Chong Company Sdn Bhd berhasrat untuk menjual kesemua lot tanah berkenaan, beliau akan cuba mencari dana atau bantuan daripada kerajaan Pusat untuk mengambil alih tanah tersebut jika diberikan ruang.

"Mungkin kita akan cadangkan kepada kerajaan Pusat supaya melakukan pembelian bagi memberi manfaat kepada penduduk di Teluk Kumbar," katanya.

Mengulas mengenai tindakan Tetuan Zantalite Enterprise (M) Sdn Bhd yang menarik balik permohonan kebenaran merancang, Azrul berkata, beliau berharap agar pemaju tersebut tetap dengan pendiriannya untuk terus membatalkan pembinaan projek asrama pekerja asing di situ.

"Pada Mac lalu, saya telah menerima surat ulasan kebenaran merancang bagi membina sebuah stesen minyak dan rumah mampu milik yang harganya dalam lingkungan RM150,000 di lot 1779. Ia sebahagian daripada dua lot yang dimiliki Tetuan Zantalite Enterprise (M) Sdn Bhd.

"Cadangan itu terdiri daripada Fasa 1 iaitu blok pangsapuri 39 tingkat yang terdiri daripada tempat meletak kereta, kemudahan masyarakat dan 279 unit rumah. Bagi Fasa 2, cadangan untuk membina stesen minyak," katanya.

"Ini lah yang saya amat galakan supaya pemaju-pemaju lebih sayangkan negeri kita dan menyediakan perumahan bagi penduduk di sekitar Bayan Lepas," katanya.

Sebelum ini, kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Perancang Negeri Pulau Pinang telah meluluskan dua permohonan bagi pembinaan asrama pekerja di kawasan Teluk Kumbar, Bayan Lepas.

Mooi Lye berkata, permohonan berkenaan adalah mendirikan satu blok bangunan asrama pekerja 27 tingkat yang terdiri daripada ruang kedai enam unit di aras 1, kemudahan rekreasi di aras satu dan dua serta 26 tingkat asrama pekerja melibatkan 512 unit di atas lot 1859,1860 dan 1865, Tingkat Teluk Kumbar, Mukim 9, Teluk Kumbar oleh Tetuan Chong Company Sdn Bhd.

Menurutnya, permohonan kedua adalah perlingkungan semula dari zon perumahan am, zon rezab pantai dan zon jalan sedia ada kepada zon perniagaan am serta penambahan ketinggian bangunan daripada lima kepada 30 tingkat untuk pembangunan di atas lot 1435 & 1437, Mukim 9, Teluk Kumbar oleh Tetuan Zantalite Enterprise (M) Sdn Bhd.

Susulan daripada itu, lebih 1,000 penduduk tempatan di Teluk Kumbar mengadakan beberapa siri demonstrasi aman bagi membantah serta mendesak Kerajaan Pulau Pinang untuk segera membatalkan projek pembinaan asrama pekerja warga asing yang dikatakan mampu memuatkan lebih 30,000 pekerja asing di kawasan tersebut.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!