'Bantah projek asrama pekerja asing, mahkamah adalah jalan terakhir'

Beberapa wakil NGO dan ahli politik berhimpun dalam Himpunan Solidariti Bantahan Asrama Pekerja Asing Teluk Kumbar pada Ahad.
Beberapa wakil NGO dan ahli politik berhimpun dalam Himpunan Solidariti Bantahan Asrama Pekerja Asing Teluk Kumbar pada Ahad.
A
A
A

BALIK PULAU - Cadangan projek asrama pekerja warga asing di Teluk Kumbar akan terus dibantah sehingga satu keputusan muktamad untuk membatalkannya dibuat oleh kerajaan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Bantahan Pembinaan Asrama Warga Asing di Teluk Kumbar, Profesor Dr Muhammad Idiris Saleh berkata, penduduk akan terus membuat bantahan aman seperti empat siri bantahan sebelum ini selain membawa isu ini ke Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang.

Menurutnya, selain itu, jalan terakhir yang akan dilakukan adalah dengan membawa isu tersebut ke mahkamah untuk diputuskan sekiranya kesemua usaha penduduk selama ini tidak berhasil.

Muhammad Idiris
Muhammad Idiris

"Kami ada tiga 'jalan' yang akan kami guna iaitu meneruskan bantahan aman di jalanan dengan dihadiri oleh beberapa wakil badan bukan kerajaan (NGO), wakil ahli politik dan penduduk. Kami tidak akan berhenti (mengadakan bantahan jalanan).

"Selain itu, kami juga akan membawa isu ini ke Persidangan DUN Pulau Pinang melalui Ketua Pembangkang, Muhammad Fauzi Yusoff. Jalan terakhir adalah membawa isu serius ini ke mahkamah, biar mahkamah putuskan sama ada projek ini akan dijalankan atau sebaliknya," katanya pada Ahad.

Muhammad Idiris Saleh sebelum itu menghadiri Himpunan Solidariti Bantahan Asrama Pekerja Asing Teluk Kumbar di sini yang dihadiri kira-kira 100 orang.

Bantahan aman kali keempat itu dihadiri oleh beberapa wakil NGO serta penduduk setempat.

Artikel Berkaitan:

Muhammad Idiris menambah, pihaknya telah menyerahkan memorandum bantahan kepada Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berhubung isu berkenaan untuk diambil tindakan.

"Saya telah bertemu dengan Dr Mohamad pada 15 Februari lalu di Universiti Sains Malaysia dalam satu program sebelum ini dan telah menyerahkan memorandum bantahan kepada beliau. Beliau tidak memberi apa-apa harapan namun berjanji akan meneliti semua bantahan kami.

"Saya juga menyerahkan memorandum mengenai isu sama kepada Perdana Menteri melalui Dr Mohamad untuk perhatian beliau. Kami memang mengharapkan campur tangan Perdana Menteri dalam isu ini kerana kami memang tidak mahu projek asrama pekerja asing ini dibina di sini.

Penduduk yang hadir ke himpunan berkenaan memegang sepanduk bagi menyatakan bantahan mereka terhadap projek asrama pekerja asing berkenan.
Penduduk yang hadir ke himpunan berkenaan memegang sepanduk bagi menyatakan bantahan mereka terhadap projek asrama pekerja asing berkenan.

"Setakat ini, kami belum menerima sebarang maklum balas daripada Dr Mohamad mahu pun Perdana Menteri," katanya lagi.

Beliau turut mengulangi pendirian penduduk bahawa tiada perbincangan akan dibuat bersama pihak pemaju seperti yang diarahkan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow sebelum ini.

"Kami tidak akan berbincang dengan pihak pemaju kerana kami mahu projek ini dibatalkan.

"Tiada lagi perbincangan yang diperlukan dalam isu ini," katanya.

Sebelum ini, kerajaan Pulau Pinang menyerahkan kepada Jawatankuasa Bertindak Bantahan Pembinaan Asrama Warga Asing Teluk Kumbar dan pemaju untuk membincangkan mengenai bantahan projek asrama warga asing di Teluk Kumbar, Bayan Lepas.

Kon Yeow berkata, keputusan itu dibuat selepas pertemuan kerajaan negeri bersama wakil jawatankuasa bertindak, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Datuk Azrul Mahathir Aziz serta Ahli Parlimen Balik Pulau, Datuk Muhamad Bakhtiar Wan Chik.

Ini berikutan, Kon Yeow berkata, jawatankuasa bantahan itu hanya membantah lokasi projek asrama berkenaan dan bukannya konsep pembinaan asrama pekerja yang telah menjadi keperluan undang-undang di Malaysia.

Kon Yeow berkata lagi, Jawatankuasa Perancang Negeri (SPC) tidak mempunyai kuasa untuk membatalkan kelulusan kebenaran merancang yang diberikan oleh pihak berkuasa tempatan berhubung projek asrama pekerja asing di Teluk Kumbar.

Sejak beberapa bulan lalu, lebih 1,000 penduduk tempatan di Teluk Kumbar mengadakan demonstrasi aman bagi membantah serta mendesak Kerajaan Pulau Pinang untuk segera membatalkan projek pembinaan asrama pekerja warga asing yang dikatakan mampu memuatkan lebih 30,000 pekerja asing di kawasan tersebut.