'Tak jadi bina asrama pekerja asing di Teluk Kumbar' - Mooi Lye

Mooi Lye
Mooi Lye
A
A
A

GEORGE TOWN - Penduduk di sekitar Teluk Kumbar dekat sini boleh menarik nafas lega selepas kerajaan negeri mengumumkan syarikat yang terbabit dengan pembangunan asrama pekerja asing menarik semula Permohonan Kebenaran Merancang (PKM) di kawasan terbabit.

Perkara itu diumumkan oleh Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, H'ng Mooi Lye.

Menurutnya, mengenai isu asrama pekerja asing di Teluk Kumbar, semua projek asrama warga asing perlu mematuhi syarat-syarat teknikal yang telah ditetapkan dalam PKM.

Malah katanya, semua permohonan yang dikemukakan perlu melaksanakan Kajian Impak Sosial (SIA) dan Kajian Impak Lalu Lintas (TIA).

"Dimaklumkan bahawa Tetuan Zantalite Enterprise (M) Sdn Bhd telah mengemukakan PKM asrama pekerja di Teluk Kumbar pada 16 November 2023.

"Bagaimanapun, saya ingin memaklumkan dalam dewan yang mulia ini bahawa Tetuan Zantalite Enterprise (M) Sdn Bhd telah menarik balik PKM tersebut pada 9 Mei 2024," katanya dalam ucapan penggulungan ketika sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Rabu.

Sebelum itu, Mooi Lye (PH-Jawi) berkata, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) telah meluluskan satu PKM bagi cadangan mendirikan satu blok bangunan asrama pekerja 27 tingkat yang mempunyai 512 unit di atas Lot 1859, 1860 & 1865, Tingkat Teluk Kumbar, Mukim 9, Daerah Barat Daya, Pulau Pinang yang telah dikemukakan oleh Tetuan Chong Company Sdn Bhd.

Bagaimanapun, katanya, kelulusan Kebenaran Merancang (Borang C1) masih belum dikeluarkan oleh MBPP kepada Tetuan Chong Company Sdn Bhd kerana syarikat terbabit belum memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan MBPP.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!