Sambutan Hari Tanpa Tembakau Sedunia perlu diperluas - Suhakam

Bacaan ikrar pada Majlis Sambutan Hari Tembakau Sedunia 2024 pada Khamis.
Bacaan ikrar pada Majlis Sambutan Hari Tembakau Sedunia 2024 pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sambutan Hari Tanpa Tembakau Sedunia perlu diraikan secara meluas dan meriah menerusi penglibatan lebih banyak pihak seperti sekolah dan agensi-agensi berkaitan yang lain.

Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Professor Datuk Noor Aziah Mohd Awal berkata, program berkenaan memerlukan kerjasama dan usaha daripada pelbagai institusi supaya mesej yang dibawa sampai hingga ke akar umbi.

"Bagi tema tahun ini iaitu Lindungi Kanak-kanak daripada Pengaruh Industri Tembakau sepatutnya disambut di sekolah agar pendedahan awal dapat diberikan kepada anak-anak mengenai bahaya rokok ini.

"Kanak-kanak lebih kepada pemerhatian daripada mendengar... jadi daripada situ, mereka akan belajar dan faham jadi sambutan hari tanpa tembakau perlu diperluaskan dengan mengadakan pameran atau aktiviti menarik yang lain.

"Untuk membentuk masyarakat bebas rokok perlu dimulakan daripada bawah iaitu di peringkat sekolah," katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Sambutan Hari Tanpa Tembakau Sedunia 2024, di sini pada Khamis.

(Dari kiri) Murrilitharan Munisamy; Dr Noraryana Hassan; Noor Aziah; Sulaiman Osman dan Kaswuri Keman ketika Majlis Sambutan Hari Tanpa Tembakau Sedunia 2024 pada Khamis.
(Dari kiri) Murrilitharan Munisamy; Dr Noraryana Hassan; Noor Aziah; Sulaiman Osman dan Kaswuri Keman ketika Majlis Sambutan Hari Tanpa Tembakau Sedunia 2024 pada Khamis.

Hadir sama Naib Presiden Yayasan Jantung Malaysia, Datuk Sulaiman Osman; Timbalan Pengarah (Penyakit Tidak Berjangkit) Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dr Norayana Hassan; Pengerusi Biro Latihan dan Penerangan Persatuan Pencegahan Dadah Malaysia (Pemadam), Datuk Kaswuri Keman dan Pengarah Urusan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM), Murrilitharan Munisamy.

Pelbagai aktiviti menarik seperti saringan kesihatan, pemeriksaan paru-paru, pertandingan mewarna dan permainan e-game lari bob diadakan sempena Sambutan Hari Tanpa Tembakau Sedunia 2024 diadakan di Yayasan Jantung Malaysia, di sini.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Noor Aziah berkata, sambutan tahun ini selari dengan objektif peruntukan yang digariskan di bawah Artikel 3 Konvensyen Rangka Kerja Kawalan Tembakau Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO FCTC).

"Tema yang kita bawa selaras dengan prinsip berkenaan iaitu melindungi generasi sekarang dan akan datang daripada kesan buruk terhadap kesihatan, sosial, alam sekitar dan ekonomi akibat penggunaan tembakau.

"Malaysia kini semakin dibebani dengan masalah peningkatan penggunaan produk pengganti tembakau seperti rokok elektronik dan masalah tersebut menjadi lebih serius apabila ia sudah menular kepada generasi muda," katanya.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan bahawa remaja dan kanak-kanak mudah terdedah dengan lambakan dan tarikan pelbagai jenis produk merokok.

Ujarnya, langkah pencegahan perlu dimulakan dengan generasi muda kerana ia lebih efektif daripada merawat mereka untuk berhenti merokok dan penyakit akibat komplikasi tabiat berkenaan.

"Pada 2 Februari lalu, KKM telah menggubal Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) dan akan dikuatkuasakan pada Jun ini.

"Suhakam berharap ia dapat menangani isu berkenaan terutama dalam kalangan kanak-kanak dan remaja. Semoga dengan sambutan tahun ini akan meningkatkan pemahaman dan sokongan masyarakat terhadap kepentingan berhenti merokok," jelasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!