Ibu bapa bertanggungjawab bentuk remaja bebas rokok, vape

Dari kiri: Dr Nurhaliza, V Candra, Fauziah dan Rashdan ketika sesi wacana intelektual bertajuk Cabaran Pengaruh Industri Tembakau dan Rokok kepada Kanak-kanak pada Khamis.
Dari kiri: Dr Nurhaliza, V Candra, Fauziah dan Rashdan ketika sesi wacana intelektual bertajuk Cabaran Pengaruh Industri Tembakau dan Rokok kepada Kanak-kanak pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Tanggungjawab untuk membentuk remaja atau golongan belia yang bebas daripada rokok dan vape memerlukan kerjasama daripada ibu bapa.

Kaunselor Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sentul, V Candra Kumar berkata, didikan atau suri teladan ibu bapa paling utama dan ia perlu ditunjukkan kepada anak-anak sejak kecil.

"Kadang-kadang ibu bapa merupakan perokok tegar jadi anak-anak yang melihat ini mahu mencuba sebab nampak macam satu kelaziman atau tabiat, jadi mereka beranggapan ia bukan satu kesalahan jika merokok.

"Nak cegah ada dua (kaedah), secara sukarela atau terpaksa tetapi kita kena faham dalam perjalanan untuk berubah akan ada turun dan naik. Itu adalah perkara biasa.

"Jadi bila ada yang gagal (berhenti merokok) di tengah jalan... jangan kecam sebaliknya teruskan memberi sokongan dan semangat kepada mereka untuk terus berusaha keluar daripada kegiatan tersebut," katanya ketika sesi wacana intelektual bertajuk Cabaran Pengaruh Industri Tembakau dan Rokok Kepada Kanak-Kanak pada Khamis.

Hadir sama Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Profesor Datuk Noor Aziah Mohd Awal; Naib Presiden Yayasan Jantung Malaysia, Datuk Sulaiman Osman; Timbalan Pengarah (Penyakit Tidak Berjangkit) Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM); Dr Noraryana Hassan; Pengerusi Biro Latihan dan Penerangan Persatuan Pencegahan Dadah Malaysia (Pemadam), Datuk Kaswuri Keman dan Pengarah Urusan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM), Murrilitharan Munisamy.

Pelbagai aktiviti menarik seperti saringan kesihatan, pemeriksaan paru-paru, pertandingan mewarna dan permainan e-game lari bob diadakan sempena Sambutan Hari Tanpa Tembakau Sedunia 2024 diadakan di Yayasan Jantung Malaysia, di sini.

Dalam pada itu Pakar Motivasi Pendidikan, Fauziah Sirat berkata, ibu bapa perlu mempunyai ilmu dalam mendidik anak-anak kerana usaha untuk membentuk generasi berkualiti memerlukan kaedah yang betul.

Artikel Berkaitan:

"Konteks asas, kita perlukan satu 'kampung' untuk bangunkan seorang anak tetapi kita perlu ingat, kita kena bawa 'kampung' yang betul iaitu rumah kita sendiri.

"Penghulu adalah ibu bapa dan ketika berada di fasa remaja, anak-anak sudah layak jadi 'menteri'... di mana setiap percakapan atau pendapat mereka layak didengar dan dipertimbangkan.

"Jika ada sebarang masalah atau kesalahan dibuat, ia perlu diselesaikan dengan cara yang profesional bagi mengelakkan daripada anak-anak rasa tidak terpinggir. Pasakkan dalam diri bahawa anda adalah suri teladan anak-anak supaya tiada perkara negatif menjadi ikutan mereka," jelasnya.

Mengulas lanjut Pengasas Pertubuhan Ibu Bapa Mencegah Rokok dan Vape (PAVAC), Rashdan Rashid memaklumkan ibu bapa perlu mendedahkan anak-anak dengan aktiviti komuniti setempat bagi memenuhi waktu terluang dengan perkara berfaedah.

Ujarnya, perkara tersebut boleh dilakukan menerusi pimpinan melalui teladan menerusi penglibatan dalam program atau kempen kesedaran dan keagamaan.

"Sebagai ibu bapa kita perlu menggalakkan anak untuk hidup bermasyarakat sebagai contoh suruh mereka luang masa ketika cuti sekolah atau waktu lapang dengan berada di surau atau sertai program kerohanian.

"Selain itu, kita sebagai ibu bapa kena 'leading by example', kalau tak mahu anak merokok... kita jangan lakukan perkara sama," tegas beliau.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!