Pahang noktahkan miskin tegar - Wan Rosdy

Wan Rosdy
Wan Rosdy
A
A
A

KUANTAN - [DIKEMAS KINI] Kerajaan Pahang secara rasmi berjaya menoktahkan miskin tegar di negeri itu membabitkan seramai 1,946 ketua isi rumah (KIR) pada Selasa.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kejayaan itu hasil pelbagai inisiatif disediakan oleh kerajaan dan digerakkan melalui Pejabat Pembangunan Negeri (PPN) Pahang.

Menurutnya, pencapaian itu dimaklumkan Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Zulkifli Yaacob dan Pengarah PPN Pahang, Datuk Fadzilla Salleh dalam Mesyuarat Exco yang berlangsung pada Rabu.

"Saya diberitahu setiausaha kerajaan negeri bahawa miskin tegar (pendapatan) RM1,204 sebulan. Hari ini saya dimaklumkan oleh Pengarah PPN dan agensi bertanggungjawab bahawa bermula dari hari semalam (Selasa), Pahang berjaya menoktahkan miskin tegar.

"Pada tahun 2023, kerajaan Pahang mengeluarkan 60 peratus keluarga miskin tegar daripada 6,000 (dan), maknanya baki (daripada jumlah) itu berjaya dinoktahkan semalam (Selasa)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Pelajar Cemerlang Orang Asli dan Sekolah Menengah Agama (SMA) Pahang SPM 2023 di Dewan SUK, Wisma Sri Pahang, di sini pada Rabu.

Seramai 99 pelajar Orang Asli dan SMA Pahang mendapat keputusan cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu menerima antara RM500 dan RM1,100 seorang.

Artikel Berkaitan:

Wan Rosdy bersama pelajar cemerlang selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Pelajar Cemerlang Orang Asli dan SMA Pahang SPM 2023 di Dewan SUK, Wisma Sri Pahang pada Rabu.
Wan Rosdy bersama pelajar cemerlang selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Pelajar Cemerlang Orang Asli dan SMA Pahang SPM 2023 di Dewan SUK, Wisma Sri Pahang pada Rabu.

Pengumuman dibuat Wan Rosdy itu menyaksikan Pahang menjadi negeri pertama untuk tahun ini yang berjaya menoktahkan miskin tegar.

Tahun lalu, Negeri Sembilan dan Wilayah Persekutuan turut menoktahkan miskin tegar di negeri masing-masing.

Kerajaan Pusat sebelum ini menetapkan sasaran asal dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi menghapuskan miskin tegar menjelang 2025, namun disingkatkan kepada tahun ini.

Dalam pada itu, Wan Rosdy menjelaskan pencapaian itu bukan berlaku secara tiba-tiba, sebaliknya ia adalah adalah hasil usaha berterusan kerajaan Pahang.

"Kita tahu kemiskinan ini subjektif dan tidak mustahil akan ada balik kumpulan ini.

"Namun, saya memberi jaminan kerajaan Pahang akan terus memantau dan berusaha untuk memastikan apa yang kita boleh buat, patut buat dan apa yang kita boleh bantu mereka," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!