Pahang bangunkan lokasi bersejarah secara berperingkat - Wan Rosdy

Wan Rosdy (tengah) menyampaikan sumbangan cek kerajaan negeri kepada penerima sempena Moh Karnival Makmur 2024 peringkat Daerah Maran.
Wan Rosdy (tengah) menyampaikan sumbangan cek kerajaan negeri kepada penerima sempena Moh Karnival Makmur 2024 peringkat Daerah Maran.
A
A
A

MARAN - Kerajaan negeri tidak meminggirkan tempat-tempat bersejarah yang ada di Pahang supaya ia tidak luput ditelan zaman dengan usaha pembangunan yang dilakukan secara berperingkat.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kelebihan negeri Pahang yang memiliki pelbagai lokasi menarik dan bersejarah perlu dijaga dan boleh dikomersialkan.

"Sejarah tidak pernah berbohong kerana membuktikan Pekan Lama Chenor di laluan utama Sungai Pahang terdapat pelbagai elemen sejarah yang masih belum terungkai seperti makam Puteri Berdarah Putih di Kampung Gulun, Chenor.

"Jadi kerajaan bersedia menyalurkan peruntukan bagi menyediakan kemudahan prasarana di mana-mana destinasi pelancongan baharu bagi kemudahan pengunjung," katanya.


Wan Rosdy menyempurnakan simbolik perasmian Moh Karnival Makmur 2024 peringkat Daerah Maran yang berlangsung selama tiga hari sejak Jumaat
Wan Rosdy menyempurnakan simbolik perasmian Moh Karnival Makmur 2024 peringkat Daerah Maran yang berlangsung selama tiga hari sejak Jumaat

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Moh Karnival Makmur 2024 peringkat Daerah Maran yang bertemakan produk pelancongan di Dataran Indera Pahlawan pekan lama Chenor pada Sabtu.

Ribuan pengunjung membanjiri dataran tersebut sempena karnival yang berlangsung selama tiga hari itu bermula Jumaat dan berakhir pada Ahad.

Ujarnya lagi, pegawai daerah dan pemimpin setempat perlu proaktif melihat tempat bersejarah yang boleh dibangunkan dengan peruntukan yang disediakan secara berperingkat.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Wan Rosdy memberitahu kerajaan negeri telah memperuntukkan RM5 juta bagi menjayakan karnival Moh Karnival Makmur 2024 yang dilaksanakan di setiap daerah pada setiap bulan.

"Maran daerah yang kedua selepas Lipis diikuti daerah Bera pada bulan April dan seterusnya ke seluruh negeri dengan membawa tema yang berbeza.


Wan Rosdy(tengah) tidak ketinggalan mencuba produk minuman yang ditawarkan di Moh Karnival Makmur 2024 peringkat Daerah Maran
Wan Rosdy(tengah) tidak ketinggalan mencuba produk minuman yang ditawarkan di Moh Karnival Makmur 2024 peringkat Daerah Maran

"Penganjuran karnival ini dapat menonjolkan, mempromosikan produk-produk tempatan ataupun lokasi bersejarah selain dapat mengeratkan hubungan silaturahim," tambahnya.

Pelbagai acara menarik telah disediakan sepanjang tiga hari karnival seperti pameran jabatan dan agensi kerajaan serta Badan Bukan Kerajaan ( NGO), program Subuh macam Jumaat, perlumbaan bot laju, malam Save Palestine Menjelang Ramadan.

Turut menarik perhatian cabutan bertuah dengan hadiah utama sebuah motosikal Kriss Modenas 110 bernilai RM5,000.