Balu Muhammad Syafiq terima pencen penakat PERKESO

Azliza (tiga kanan) ketika dikunjungi PERKESO dan Suhaimizan di kediamannya pada Rabu.
Azliza (tiga kanan) ketika dikunjungi PERKESO dan Suhaimizan di kediamannya pada Rabu.
A
A
A

TAMPIN - Selepas hilang tempat bergantung akibat kematian suami, ibu kepada tiga anak melahirkan rasa bersyukur dan terharu apabila nasib keluarganya mendapat perhatian Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Azliza Aziz,30, balu kepada kakitangan Keretapi Tanah Melayu (KTM), Muhammad Syafiq Salehin, 32, layak menerima faedah pencen penakat sebanyak RM1,210 sebulan dan Faedah Pengurusan Mayat daripada agensi berkenaan.

Menurut Azliza, selama ini dia hanya mengusahakan perkhidmatan penghantaran hadiah secara mengejut secara sambilan selain bergantung sepenuhnya dengan Allahyarham suaminya.

"Alhamdulillah tidak dapat saya gambarkan dengan kata-kata (terima pencen penakat) sebab umpama Allahyarham masih ada di sini dan tanggungjawabnya seolah-olah tidak pernah putus walaupun jasadnya tiada depan mata.

"Dengan wang ini setidak-tidaknya dapatlah saya menampung keperluan dan perbelanjaan anak-anak sekali gus memberi sedikit kelegaan," katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya di Kampung Paya Lebar,Air Kuning Selatan dekat sini pada Rabu.

Sebelum itu, Azliza yang mempunyai tiga orang anak lelaki berusia lima hingga lapan tahun menerima faedah pencen penakat yang disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gemencheh, Suhaimizan Bizar dan Ketua Pusat Satelit PERKESO Kuala Pilah, Mohd Iqbal Mohamed.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, rangka manusia yang dijumpai di ladang kelapa sawit di Felda Sungai Kelamah, Gemas, pada 29 April lalu disahkan milik Muhammad Syafiq Salehin berdasarkan keputusan ujian DNA yang dijalankan.

Pihak polis mengklasifikan kes itu sebagai laporan mati mengejut (SDR) dan siasatan lanjut masih diteruskan.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, menceritakan kembali mengenai Allahyarham suaminya, Azliza berkata, anak bongsunya memaklum Allahyarham datang dalam mimpinya pada hari suaminya itu dikebumikan 18 Mei lalu.

"Dalam mimpi itu, Iman (anak bongsu) kata ayahnya bagitahu dia kini bekerja jauh dan tidak akan pulang lagi, sebaik Iman mahu bersalaman arwah hilang," katanya.

Ujarnya, dia bagaimanapun reda dengan ketentuan Ilahi dan akan menjaga amanah iaitu tiga orang anak sepertimana arwah menjaganya selain menyerahkan siasatan lanjut kes penemuan rangka suaminya kepada pihak polis.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!