Penantian 56 hari berakhir, jasad Muhammad Syafiq akhirnya 'dipulangkan'

Azliza bersama tiga anak lelakinya. (Laporan Sinar Harian pada Isnin.)
Azliza bersama tiga anak lelakinya. (Laporan Sinar Harian pada Isnin.)
A
A
A

TAMPIN - "Kita bukan kehilangan, tapi kita memulakan. Tiada apa yang di dunia ini milik kita, ingat tu, reda itu susah, ikhlas itu tak mudah sebab kita hamba, kita semua milik Dia."

Itu antara luahan hati Azliza Aziz, 30, atau Eijaa selepas penantian 56 hari menunggu kepulangan suami tercinta yang hilang tanpa khabar berita sejak 25 Mac lalu berakhir dengan berita suaminya itu sebenarnya telah meninggal dunia.

Lebih memilukan suami kepada Azliza 'dipulangkan' dalam keadaan jasadnya hanya tinggal rangka.

Ia selepas ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dilakukan terhadap rangka yang ditemui di ladang kelapa sawit Felda Sungai Kelamah, Gemas, pada 29 April lalu itu disahkan milik suaminya, Allahyarham Muhammad Syafiq Salehin, 32.

Pada hari kejadian, Allahyarham dikatakan keluar bekerja seperti biasa di Kampung Parit Buloh selepas keluar dari rumah di Kampung Paya Lebar, Air Kuning Selatan pada 25 Mac lalu.

Pada waktu rehat, mangsa dikatakan menunggang motosikal jenis Yamaha LC 135 berwarna biru dan keluar menuju ke sekolah anak-anaknya di Tabika Kemas Felda Bukit Jalor untuk menjemput mereka pulang kira-kira jam 11.30 pagi.

Bagaimanapun, isterinya dimaklumkan anak-anak mereka tidak dijemput dan sejak itu arwah tidak lagi tidak ditemui.

Menerusi aplikasi Tik Tok Azliza, ibu kepada tiga cahaya mata itu turut berkongsi kesedihannya kerana kepulangan suaminya dalam keadaan tidak lagi bernyawa.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN:Rangka, tulang sah milik Muhammad Syafiq - Polis

Dia bagaimanapun reda dengan ketentuan ALLAH.

"Alhamdulillah dengan izin ALLAH dan berikan saya kekuatan untuk bawa balik abang dengan sendirinya walaupun saya tidak kuat untuk memandu kereta tetapi mengenangkan ini sahaja jalan saya boleh berjasa dengan abang.

"ALLAH izinkan juga untuk saya solat jenazah abang. Itu sahaja yang terakhir saya lakukan untuk abang,” tulisnya.

Dalam pada itu, Azliza turut menyifatkan Allahyarham Muhammad Syafiq seorang suami yang terbaik sepanjang lapan tahun berumahtangga.

“Terima kasih abang kerana menjadi suami terbaik dan ayah terbaik untuk saya serta anak-anak," tulisnya lagi.

Sinar Harian pada Isnin melaporkan, rangka manusia yang dijumpai di ladang kelapa sawit berkenaan disahkan milik Muhammad Syafiq Salehin berdasarkan keputusan ujian DNA yang dijalankan.

Pihak polis mengklasifikan kes itu sebagai laporan mati mengejut (SDR) dan siasatan lanjut masih diteruskan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!