Rahsia perkahwinan punca anak tiada dokumen kelahiran

Badrul Hisham (tengah) melawat Afiq Aiman yang terlantar di kediamannya di Kampung Chenok pada Rabu.
Badrul Hisham (tengah) melawat Afiq Aiman yang terlantar di kediamannya di Kampung Chenok pada Rabu.
A
A
A

KOTA BHARU - Kelantan, Perak, Perlis dan Kedah antara negeri dilaporkan mempunyai paling banyak masalah mendapatkan dokumen kelahiran untuk anak berikutan pasangan yang berkahwin di sempadan tidak mendaftarkan perkahwinan mereka dalam negara.

Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Badrul Hisham Alias berkata, perkahwinan yang disebut sebagai 'perkahwinan tidak teratur' itu bertujuan mahu merahsiakan perkahwinan daripada isteri pertama atau keluarga.

Menurut beliau, kebanyakan pasangan bertindak bernikah di Thailand enggan mendaftarkan perkahwinan mengikut undang-undang apabila pulang ke Malaysia.

"Ramai yang berkahwin di sempadan dan terus merahsiakannya sehingga anak-anak membesar tanpa dokumen kelahiran," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika menghadiri Program Mekar JPN dan penyerahan Mykad kepada Afiq Aiman Muhammad, 22, yang terlantar sejak lebih 20 tahun lalu di kediamannya di Kampung Chenok pada Rabu.

Hadir sama, Pengarah JPN negeri, Asrehan Ab Razak.

Badrul Hisham turut memberi contoh seorang guru yang sudah bersara menghadapi masalah untuk proses pendidikan anaknya yang sudah berusia 12 tahun kerana mahu merahsiakan perkahwinan kedua.

Badrul Hisham ( tengah) menyampaikan sumbangan kepada bapa Afiq Aiman, Muhammad Abdullah.
Badrul Hisham ( tengah) menyampaikan sumbangan kepada bapa Afiq Aiman, Muhammad Abdullah.

Artikel Berkaitan:

"Keadaan menjadi sukar apabila guru itu bimbang isteri pertama tahu perkahwinan keduanya.

"Memang ada kes kelahiran anak tidak dapat didaftarkan kerana pasangan enggan mendaftarkan perkahwinan mereka," katanya.

Beliau menjelaskan, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan merekodkan semua maklumat pemohon untuk membantu pasangan mendapatkan dokumen penting itu untuk anak mereka.

"Memang menjadi hak masyarakat untuk mendaftar perkahwinan dan kami membantu mereka untuk mendapatkan dokumen," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!