Ekosistem kewangan Islam perlu berkembang secara beransur-ansur - PM

Anwar berucap pada Forum Global mengenai Ekonomi dan Kewangan Islam (GFIEF) di sini, hari ini. Foto Bernama
Anwar berucap pada Forum Global mengenai Ekonomi dan Kewangan Islam (GFIEF) di sini, hari ini. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ekosistem kewangan Islam perlu berkembang secara beransur-ansur dengan memberi penekanan lebih kepada kewangan berasaskan nilai melangkaui motif berasaskan keuntungan atau menyemai pemikiran bahawa kekayaan tidak hanya berlegar dalam segelintir kumpulan sahaja tetapi diagihkan untuk memajukan masyarakat, dan pelaburan yang menjanjikan kesejahteraan seimbang, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Berucap pada Forum Global mengenai Ekonomi dan Kewangan Islam (GFIEF) di sini, hari ini, beliau berkata, dengan mengambil kira perkara ini, semua pihak mesti bekerjasama untuk menangani cabaran dan mencipta peluang menyertai ekonomi dan meningkatkan status.

"Dengan menggalakkan pembangunan perniagaan mikro, kecil dan sederhana serta akses kepada kewangan untuk penduduk yang kurang serta tidak mendapat perkhidmatan, kita boleh mengurangkan jurang dan memupuk kemakmuran bersama.

"Menerusi integrasi global dan penggunaan instrumen kewangan sosial Islam yang berkesan, kita boleh merapatkan jurang antara golongan kaya dan yang tidak berkemampuan serta menggalakkan perpaduan masyarakat bersama,” kata Anwar yang juga Menteri Kewangan.

Perdana Menteri juga menegaskan bahawa prinsip ekonomi dan kewangan Islam malahan semakin relevan untuk menyelesaikan cabaran yang dihadapi dunia semasa tempoh ketidaktentuan global.

Beliau berkata, ini termasuk membasmi kemiskinan yang teruk, memastikan jaminan makanan dan membolehkan peluang sama rata kepada pendidikan menyeluruh.

"Inilah sebabnya mengapa kita perlu memulakan ‘islah’ holistik, agenda reformasi untuk perubahan positif dan dorongan untuk kebaikan dalam ekonomi global,” kata beliau.

Anwar menegaskan bahawa sudah tiba masanya untuk beralih daripada pandangan konvensional tentang apakah industri halal, apakah yang bebas riba’, perbankan patuh Syariah dan instrumen kewangan, bagi menjadikannya lebih selaras dengan objektif utama Syariah.

Artikel Berkaitan:

"Ini akan melibatkan prinsip keadilan saksama, membantu menyelesaikan masalah kemiskinan yang teruk dan ketidaksamaan, dan memerlukan penyertaan lebih meluas daripada masyarakat,” kata beliau.

Menurut Anwar, menerusi integrasi global dan penggunaan instrumen kewangan sosial Islam secara berkesan, kerajaan boleh merapatkan jurang antara golongan berada dan golongan tidak berkemampuan serta menggalakkan perpaduan masyarakat bersama.

"Ini perlu menjadi alternatif yang berkesan. Ia bukan sekadar memperkenalkan instrumen yang diperkenalkan di bawah sistem kapitalis yang cacat dan tidak terkawal, yang mana kemajuan dicapai, pembangunan dapat dilihat, tetapi ketidaksamaan berterusan dan bertambah buruk,” kata beliau.

Anwar berkata, separuh daripada 75 negara paling lemah di dunia menjadi lebih miskin berbanding dengan ekonomi terkaya.

"Dapatan ketara ini memerlukan masyarakat antarabangsa, terutamanya pertubuhan Islam antarabangsa dan rakan pembangunan, untuk bertindak pantas dan secara kolektif.

"Kita mesti bekerjasama untuk meningkatkan kerjasama antarabangsa dengan strategi pertumbuhan ekonomi bersepadu, holistik dan harmoni termasuk menghapuskan halangan struktur, menambah baik infrastruktur, meningkatkan amalan perdagangan dan memupuk tadbir urus yang baik dalam mengurangkan jurang ekonomi,” kata beliau.

Di Malaysia, kata beliau, dengan Rangka Kerja Ekonomi Madani, kerajaan berusaha untuk memberi tumpuan kepada pembangunan bertamadun.

"Bermula dengan isu tadbir urus, salah satu kelemahan yang saya perhatikan ialah tadbir urus yang lemah dalam masyarakat kita, toleransi terhadap rasuah dan salah guna kuasa, memperkayakan golongan elit yang berkuasa, dan merampas hak orang ramai daripada tempat yang sewajarnya dalam masyarakat.

"Jadi kami telah mengambil langkah di bawah Rangka Kerja Ekonomi Madani dan saya mesti berterima kasih kepada semua pemain, Bank Negara Malaysia yang memainkan peranan penting dalam hal ini, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, dan sekutu kami, yang menerajui usaha mempromosikan rangka kerja ekonomi baharu ini berdasarkan keadilan dan kesaksamaan,” kata beliau. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!